
Peguam Christopher Leong, berkata cadangan itu, tanpa prejudis, telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara, pada 1 Jul.
“Mereka telah menjawab dan meminta kami menunggu sehingga 29 Jul bagi membolehkan mereka mendapatkan arahan daripada responden (kerajaan),” kata Leong ketika memberi maklum balas bagi pengurusan kes itu kepada Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Leong, anggota pasukan undang-undang mewakili 28 bekas hakim dan tujuh balu bekas hakim, berkata beliau tidak mempunyai bantahan terhadap permintaan Jabatan Peguam Negara itu.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan cadangan itu sudah diterima dan dimajukan kepada kerajaan.
“Bagaimanapun, kerajaan mungkin mengemukakan cadangan balas,” katanya.
Hakim kemudian menetapkan satu lagi pengurusan kes, pada 16 Ogos.
Plaintif, dalam saman mereka difailkan awal tahun ini, berkata mereka sedang mencari penyelesaian undang-undang selepas kerajaan enggan melayan notis tuntutan yang dihantar, pada Sept tahun lalu.
Plaintif memohon pengisytiharan bahawa pencen mereka perlu diselaraskan setiap tahun, berdasarkan gaji hakim semasa.
Masalah timbul apabila kerajaan membuat semakan gaji pada 2015 untuk hakim, memberikan pencen yang lebih tinggi ditambah kenaikan tahunan 2% bagi mereka yang bersara selepas pindaan.
Bagaimanapun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama, ditambah kenaikan tahunan 2%.
Plaintif menuntut pengisytiharan bahawa pindaan itu melanggar peruntukan perlembagaan bahawa saraan hakim dan terma jawatan lain, termasuk hak pencen, tidak boleh diubah sehingga merugikan mereka selepas pelantikan.