Bukan stigma 1MDB yang patut dibimbangkan PM bagi PRU15, kata penganalisis

Bukan stigma 1MDB yang patut dibimbangkan PM bagi PRU15, kata penganalisis

Isu yang akan lebih mempengaruhi pengundi adalah kos sara hidup dan inflasi yang membebankan rakyat.

Kemarahan rakyat berhubung skandal 1MDB kini mungkin tinggal separuh berbanding ketika PRU14 pada 2018, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Skandal 1MDB telah kehilangan banyak pengaruhnya terhadap pengundi sejak pilihan raya umum lalu, menurut dua penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor tahun lepas menunjukkan bahawa skandal yang antara lainnya melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak itu sudah tidak relevan.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, kepentingan negara dalam kes 1MDB semakin berkurangan sejak perbicaraan mahkamah berkaitnya bermula.

Kedua-duanya berkata, isu kos sara hidup akan mempunyai pengaruh lebih besar terhadap pengundi pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam wawancara media baru-baru ini, beliau cuba mengatasi stigma 1MDB dalam mendapatkan sokongan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Jeniri berkata, beliau percaya kebimbangan utama orang ramai sekarang ialah kos sara hidup yang semakin meningkat, dan Ismail perlu menangani isu inflasi dengan berkesan jika beliau berharap untuk memimpin gabungannya dalam satu lagi penggal sebagai perdana menteri.

“Rakyat sedang menderita akibat kos sara hidup yang tinggi dan inflasi,” katanya kepada FMT.

“Pendapatan ramai orang telah merosot secara drastik. Inilah yang akan paling mempengaruhi pilihan pengundi.”

Beliau berkata, kelihatan pada masa ini seolah-olah 60% daripada rakyat berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Awang Azman berkata, kemarahan orang ramai berhubung skandal 1MDB kini mungkin tinggal separuh berbanding ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Sama ada Ismail boleh meningkatkan ekonomi dan menangani peningkatan kos sara hidup dan inflasi – itu yang lebih penting sekarang.

“Jika beliau gagal berbuat demikian, kedudukannya sebagai perdana menteri pasti akan terjejas teruk,” katanya.

Beliau percaya Ismail akan diiktiraf oleh golongan atas pagar, malah penyokong pembangkang, jika berjaya mendorong hala tuju pemulihan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.