
Mahdzir yang pernah menyandang jawatan itu pada 2005 hingga 2008, berharap tidak diheret sama dalam pertelingkahan antara Sanusi dan Mukhriz, susulan banjir dan fenomena kepala air di Baling, baru-baru ini.
Beliau yang kini menteri pembangunan luar bandar berkata, apa dibangkitkan kedua-dua pemimpin berkenaan merupakan isu lama yang saling berkait apabila projek asal dilanjutkan bawah beberapa pemerintahan menteri besar selepas tamat penggal, kemudian berlarutan sehingga kepimpinan terkini, bawah Sanusi.
“Tak payah tanyalah, biar mereka bergaduh, nama saya tak ada dalam isu itu, cukuplah.
“Jangan pula ada yang pandai-pandai (nak kaitkan dengan saya), biarlah mereka bergaduh, itu cerita kemudian (selepas pentadbiran saya) kemudian bersangkut-sangkut,” katanya menurut Sinar Harian.
Semalam, Sanusi turut enggan terlibat dalam “permainan” yang menyaksikan elemen tuding-menuding membabitkan projek ladang durian Musang King, di Gunung Inas, antara Mukhriz dan Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga bekas menteri besar.
Sehari sebelum itu, Mukhriz mendakwa syarikat ECK Group diberikan kebenaran menanam durian di Gunung Inas ketika bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), yang ketika itu ditadbir Ahmad Bashah, antara 2016 hingga 2018.
Sebelum itu, Sanusi dilaporkan berkata, kelulusan ladang hutan untuk tanaman getah jenis timber latex clon (TLC) di Gunung Inas dilakukan era pemerintahan BN pada 2007, bukannya oleh kerajaan PAS pimpinan Azizan Abdul Razak, selain mendakwa penebangan balak dilakukan antara 2018 dan 2019.
Pada 4 Jul lalu, banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Baling dikaitkan dengan projek ladang Musang King di puncak Gunung Inas, yang mengorbankan tiga nyawa dan ribuan penduduk terjejas.