4 beranak maut: Pemandu treler ditahan, miliki 13 saman

4 beranak maut: Pemandu treler ditahan, miliki 13 saman

Polis berkata, hasil semakan mendapati lelaki berusia 34 tahun itu mempunyai 13 rekod kesalahan trafik dari 2008 hingga 2021.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut akibat tersepit dalam Proton Persona dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan dekat Ipoh semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa empat beranak di KM277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh semalam, memiliki 13 saman trafik.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 34 tahun itu sudah ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai 13 rekod kesalahan trafik dari 2008 hingga 2021.

“Tiga daripada saman berkenaan terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2012, 2020 dan 2021.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati lelaki itu tidak memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati treler tanpa muatan yang dalam perjalanan dari arah Taiping ke Bukit Beruntung itu merempuh kenderaan dinaiki empat mangsa dari arah belakang.

Katanya, rempuhan itu mengakibatkan Proton Persona yang dinaiki empat sekeluarga itu terbabas ke hadapan, lalu melanggar lima lagi kenderaan lain.

“Pemandu kereta yang berusia 60 tahun, isterinya yang duduk di hadapan dan dua anak perempuan mereka yang duduk di bahagian penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Dalam kejadian sekitar 3 petang semalam, empat beranak yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur maut selepas terbabit dalam nahas tujuh kenderaan.

Mangsa yang maut merupakan pesara polis, Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan mereka, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.