Saman libel firma e-dagang, pengasas terhadap Ahli Parlimen akan dibicara di Mahkamah Tinggi

Saman libel firma e-dagang, pengasas terhadap Ahli Parlimen akan dibicara di Mahkamah Tinggi

Peguam Ivanpal Singh Grewal berkata, kes itu paling baik didengar oleh hakim Akhtar Tahir kerana prosiding sudah di peringkat lanjut.

Saman libel itu pada asalnya ditetapkan untuk perbicaraan minggu lepas, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan plaintif mempertimbangkan sama ada ingin memindahkan saman ke Mahkamah Sesyen.
KUALA LUMPUR:
Sebuah firma e-dagang dan pengasasnya, Jessy Lai, bertegas agar saman libel mereka terhadap Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

Peguam mereka, Ivanpal Singh Grewal berkata, kes itu paling baik didengar oleh hakim Akhtar Tahir kerana prosiding sudah di peringkat lanjut.

“Semua arahan pra-perbicaraan telah dipatuhi,” kata Ivanpal kepada FMT selepas pengurusan kes di hadapan Akhtar hari ini.

Peguam itu berkata, beliau memberitahu hakim tentang permintaan MonSpace (M) Sdn Bhd dan Lai agar hakim itu terus mendengar perkara tersebut.

Minggu lepas, peguam Lim, Guok Ngek Seong, mencadangkan supaya saman itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen kerana mahkamah rendah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman itu dan memberikan ganti rugi sehingga RM1 juta.

Akhtar menetapkan perbicaraan selama tiga hari pada 1, 2 dan 9 Sept dan memaklumkan pihak-pihak terbabit bahawa tidak akan ada penangguhan lagi.

Saman itu pada asalnya ditetapkan untuk perbicaraan minggu lepas, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan plaintif mempertimbangkan sama ada ingin memindahkan saman ke Mahkamah Sesyen.

Dalam saman yang difailkan pada Jun 2019, Lai berkata, Lim mendakwa beliau menjalankan perniagaan haram dan telah menipu pelabur China.

Kenyataan Lim yang disiarkan dalam media berbahasa Inggeris dan Cina itu membayangkan bahawa Lai tidak jujur, katanya.

Lai berkata, ahli Parlimen itu membuat kenyataan sedemikian pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan Lim memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Lai memohon ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada Lim.

Lebih 70 warga China membuat laporan polis pada masa itu mengenai skim pelaburan “mengelirukan” yang dikendalikan oleh MonSpace.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.