
Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kedua-dua usul itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun untuk dibincangkan pada sidang Parlimen akan bermula Isnin depan.
“Saya merayu agar dewan yang mulia ini menangguhkan urusan-urusan mesyuarat yang lain dan membenarkan ahli-ahli Dewan Rakyat merunding dan membahaskan perkara tertentu ini yang lebih berkepentingan kepada orang ramai dan negara yang perlu disegerakan,” katanya dalam kenyataan.
Ramkarpal turut berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung bencana banjir di Kedah akan meredakan kebimbangan rakyat mengenai dakwaan bahawa jabatan di peringkat negeri menyembunyikan punca kejadian itu.
Katanya, sehingga kini tiada sebarang penjelasan yang telus dan menyeluruh mengenai punca tragedi banjir dan kepala air tersebut.
“Rakyat khususnya di Kedah mempunyai hak yang asas untuk mengetahui punca tragedi itu kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian ekonomi yang teruk kepada penduduk di kawasan banjir tersebut, tetapi secara langsung juga menyebabkan rakyat Pulau Pinang mengalami gangguan air,” katanya.
Pada 4 Julai lalu, banjir dan kepala air melanda Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban termasuk seorang ibu hamil empat bulan, selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, dilaporkan waris kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dikatakan menuntut RM62.59 bilion daripada kerajaan Malaysia, semalam.
Petronas turut mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya menerima notis “Saisie-arret” pada Isnin sekali gus menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berasas.