Mangsa banjir di Sabah meningkat, Sarawak buka PPS pertama

Mangsa banjir di Sabah meningkat, Sarawak buka PPS pertama

Jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat 4,652 orang setakat 4 petang berbanding 3,768 pada 12 tengah hari tadi.

banjir di pitas sabah
Semua mangsa banjir di Sabah ditempatkan di 25 PPS di tiga daerah terjejas iaitu Pitas, Kota Marudu dan Paitan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di Sabah dilaporkan semakin memburuk petang ini apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan peningkatan, manakala Sarawak mula mengaktifkan PPS pertamanya di Kuching.

Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,652 orang setakat 4 petang ini berbanding 3,768 orang pada 12 tengah hari tadi.

“Semua mangsa daripada 1,799 keluarga itu ditempatkan di 25 PPS di tiga daerah terjejas iaitu Pitas, Kota Marudu dan Paitan.

“Pitas mencatatkan peningkatan jumlah mangsa kepada 2,013 orang (787 keluarga) berbanding 1,653 orang (621 keluarga) tengah hari tadi, manakala Paitan merekodkan peningkatan mendadak kepada 716 mangsa (234 keluarga) berbanding 192 mangsa sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Di Kota Marudu, jumlah mangsa kekal seramai 1,923 orang daripada 778 keluarga.

Sementara itu, di Sarawak, JPBN negeri itu menerusi satu kenyataan memaklumkan sebuah PPS dibuka di Masjid Darul Istiqlaal, Kampung Sungai Maong, Kuching pada 11 pagi tadi.

“Seramai 63 mangsa daripada 17 keluarga telah dipindahkan ke PPS berkenaan dan trend pemindahan mangsa ketika ini menunjukkan peningkatan,” menurut kenyataan itu.

Rabu lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca lembap berterusan di Sabah dan Sarawak sepanjang minggu ini, dengan hujan dijangka berlaku di beberapa kawasan susulan luruan angin monsun yang memasuki rantau negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.