Rafizi cadang Felda urus pengeluaran tanaman makanan

Rafizi cadang Felda urus pengeluaran tanaman makanan

Inisiatif sedemikian akan menyerupai peranan yang dimainkan oleh Petronas dalam menguruskan industri petroleum,

Rafizi Ramli berkata, Felda Technoplant yang selama ini menguruskan tanah milik peneroka boleh memainkan peranan dalam inisiatif ini.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli daripada PKR mencadangkan agar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bertanggungjawab terhadap pengeluaran tanaman makanan di tanah persekutuan untuk meningkatkan jaminan makanan negara.

Inisiatif sedemikian, katanya, akan menyerupai peranan yang dimainkan oleh Petronas dalam menguruskan industri petroleum.

“Perkara ini boleh dipertimbangkan oleh kerajaan kerana kita sudah mempunyai banyak agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang boleh diberi mandat,” katanya.

Rafizi berkata, anak syarikat Felda, Felda Technoplant yang selama ini menguruskan tanah milik peneroka boleh memainkan peranan dalam inisiatif ini.

Felda Technoplant, katanya, boleh mengenal pasti plot tanah dan jenis tanaman yang sesuai serta mewujudkan pelbagai skim untuk peneroka.

Beliau juga berkata, tanah ladang Felda yang disewakan kepada FGV Holdings Berhad (FGV) boleh ditukar menjadi tanah pertanian untuk menanam tanaman makanan.

Katanya, Putrajaya sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan langkah-langkah ini kerana mereka mempunyai kuasa untuk menukar status penggunaan tanah.

Bulan lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan bahawa kerajaan negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan lebih banyak tanah untuk pertanian.

Guna tanah untuk tanaman makanan, bukan kelapa sawit

Dalam isu berasingan, Rafizi menggesa agar tumpuan penggunaan tanah di negara ini dialihkan daripada penanaman kelapa sawit kepada tanaman makanan.

Pada masa ini, lima juta hektar tanah di Malaysia digunakan bagi tanaman kelapa sawit, berbanding 700,000 hektar bagi tanaman makanan.

Peralihan ini, tambahnya, hanya akan berjaya jika kerajaan menggubal dasar berhubungnya.

“Jika kerajaan tidak menggubal (dasar), (peralihan) ini tidak akan berjaya,” katanya.

Usaha sebegini sedang berjalan di Sarawak, di mana negeri itu menghadkan penggunaan tanah bagi penanaman kelapa sawit dan beralih kepada industri makanan, menurut Premier Abang Johari Openg.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.