
Ketua Penerangannya, S Gobi Krishnan berkata, beliau membuat laporan selepas ADUN Rantau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat itu gagal memohon maaf dalam tempoh 24 jam.
“Saya sudah pun menuntut Tok Mat memohon maaf dalam tempoh 24 jam dua hari lalu tetapi dia membisu mengenai perkara itu. Sudah lebih 24 jam.
“Kalau salah, minta maaf saja, tiada masalah,” katanya di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Gobi berkata, jika tiada tindakan diambil terhadap Mohamad, sayap bersekutu itu akan berarak ke pejabatnya.
Beliau menggesa polis menyiasat Mohamad mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian, niat jahat atau menjejaskan pemeliharaan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.
Dalam wawancara Mohamad dengan Asia Times baru-baru ini, pemimpin Umno itu dikatakan merujuk kepada kavadi sebagai “beban” dalam menggambarkan kekalahan Umno pada pilihan raya umum ke-14.
Sebelum ini, Gobi berkata membawa kavadi adalah untuk menunaikan ikrar seseorang dan sebagai tanda terima kasih kepada Dewa Muruga semasa perayaan Thaipusam tahunan.
“Adalah jelas bahawa dia tidak menghormati sensitiviti masyarakat Hindu,” kata Gobi.
Sementara itu, Gobi berkata, beliau turut membuat satu lagi laporan terhadap pengasas Crackhouse Comedy Club dan pelawak Rizal van Geyzel kerana didakwa menghina orang Melayu.
Satu video yang menunjukkan Rizal bercakap dalam bahasa Tamil di atas pentas telah tersebar di media sosial.