Perlu agensi tunggal untuk rancang pengangkutan, kata pakar

Perlu agensi tunggal untuk rancang pengangkutan, kata pakar

Rosli Azad Khan berkata, pelbagai agensi yang terlibat pada masa ini menghalang usaha perancangan jangka panjang dalam sektor itu

Laluan Rel Pantai Timur sepatutnya dapat dibina dengan kos yang lebih rendah, menurut seorang perunding pengangkutan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang perunding menggesa agar semua perancangan pengangkutan dilaksanakan oleh agensi tunggal dengan berkata, perlu ada pemisahan yang jelas antara perancang, pengawal selia dan pengendali.

Rosli Azad Khan berkata, agensi itu harus melaksanakan perancangan untuk pelabuhan udara dan laut, landasan kereta api, lebuh raya dan transit bandar bagi semua mod pengangkutan, termasuk di Sabah dan Sarawak, supaya ia lebih diselaraskan, bersepadu dan beroperasi dengan lancar.

“Kerajaan tidak boleh menyerahkan fungsi perancangan penting ini kepada ahli perniagaan atau ahli politik,” katanya.

“Pada masa ini, begitu banyak cadangan dikemukakan oleh ahli perniagaan dan mereka menggunakan kaitan politik untuk mempengaruhi kerajaan.

“Ini bukan pendekatan yang tepat untuk merancang infrastruktur pengangkutan jangka panjang kita, itulah sebabnya ia tidak dapat berfungsi dengan baik dan kita hadapi keadaan kucar-kacir hari ini.”

Menurutnya, pengangkutan darat, laut dan udara membabitkan pelbagai kementerian dan agensi, dan bilangan agensi yang banyak menghalang usaha perancangan jangka panjang dalam sektor itu, mewujudkan keadaan yang “sangat mengelirukan”.

Beliau berkata, peranan kerajaan sebagai pengawal selia dan pengendali pengangkutan tidak ditakrifkan dengan jelas, terutamanya bagi entiti bawah Kementerian Kewangan.

Syarikat-syarikat ini termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad, MRT Corp, MyHSR dan Laluan Rel Malaysia yang kini sedang membina Laluan Rel Pantai Timur. Kementerian juga memiliki Prasarana, yang menjalankan perkhidmatan LRT, Monorel, RapidKL dan bas Rapid.

“Adakah mereka dibentuk untuk melaksanakan perkhidmatan awam sebagai pertubuhan yang tidak mengaut keuntungan? Atau adakah mereka dibenarkan melaporkan kerugian tahun demi tahun, tanpa sebarang akibat? Mengapa perbelanjaan projek mereka diletakkan dalam kategori luar bajet dan tidak dibentangkan di Parlimen?” tanya Rosli.

“Struktur semasa dan kaedah perbelanjaan mereka terdedah kepada penyalahgunaan, serta peminjaman dan perbelanjaan luar bajet. Perkara ini mesti dihentikan segera.”

Beliau juga menyatakan bahawa ECRL, yang menurutnya tidak diperlukan oleh tiga negeri Pantai Timur terbabit, telah menjadi keutamaan dengan mengorbankan pembinaan jalan raya yang lebih baik di Sabah atau laluan rel antara Sabah dan Sarawak.

Rangkaian ECRL sepanjang 665km yang merangkumi 59 terowong itu dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dan dijangka beroperasi menjelang Januari 2027. Rangkaian itu akan melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Rosli berkata, ECRL boleh dibina pada kos yang lebih rendah, berdasarkan analisis kos pembinaan landasan kereta api tunggal di pelbagai negara dengan bentuk muka bumi yang serupa.

“Sebahagian besar daripada kos itu dibelanjakan untuk perkara lain, bukan projek itu,” dakwanya.

“Justeru, selagi amalan seperti ini tidak dihentikan … negara kita akan terus menderita. Yang paling rugi ialah pembayar cukai dan orang ramai.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.