Mungkin setiausaha agung belakangi Hadi, kata Asyraf Wajdi

Mungkin setiausaha agung belakangi Hadi, kata Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi berkata beliau cuba bersangka baik dalam isu itu apabila presiden PAS terdahulu menafikan dakwaan Bersatu mengenai kewujudan perjanjian antara perdana menteri dengan Perikatan Nasional.

PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mungkin dibelakangi setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan ketika membuat perjanjian mengenai jawatan timbalan perdana menteri (TPM) untuk Bersatu, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi.

Menurutnya, jelas tercatat dalam tiga minit Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional bertarikh 17 Jun 2020, 6 Ogos dan 13 Ogos 2020, bahawa Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan disokong oleh pimpinan PAS yang lain pada waktu itu, bersungguh-sungguh menafikan bahawa parti itu bersetuju menyertai PN.

“Apatah lagi mendaftarkannya sebagai sebuah parti dan PAS menjadi salah satu komponennya. Tidak mungkin pimpinan ulama menipu,” katanya.

Tambahnya, sehinggalah pada 19 Ogos 2020, Takiyuddin mengisytiharkan dalam laporan media bahawa PAS akan menyertai PN.

“Malang sekali, akhirnya Muafakat Nasional yang terbentuk atas deraian air mata terkubur begitu sahaja akibat hilangnya kejujuran dan keikhlasan dalam permuafakatan,” katanya.

Terdahulu, PAS menafikan dakwaan Bersatu mengenai kewujudan perjanjian antara Ismail dengan PN berhubung jawatan timbalan perdana menteri. Bagaimanapun, Hadi mengakui ada perbincangan mengenai jawatan itu pada awal penubuhan kerajaan pimpinan Ismail, namun tiada keputusan dicapai.

Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata beliau menemui Ismail untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang menurutnya berkaitan perjanjian PN dengan perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.