
Katanya, situasi itu amat membimbangkan kerana kedudukan tiang menara terbabit terletak hanya beberapa meter dari kawasan runtuhan.
Beliau berkata, malapetaka mungkin berlaku jika menara terbabit tumbang selain mengakibatkan bekalan elektrik terputus pada skala besar.
“Banyak aduan sudah dilakukan sama ada melalui penduduk setempat mahupun JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) serta MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) sejak beberapa tahun ini namun tiada tindakan penyelesaian jangka panjang dilakukan SESB.
“Apa dilakukan SESB hanya meletakkan kanvas untuk melindungi lereng bukit yang runtuh.
“Kanvas ini tidak akan mengelakkan hakisan tanah terbabit pada musim hujan kerana ia bertindak sebagai ‘prevention measure’ jangka pendek,” katanya dalam kenyataan.
Awang yang juga ketua penerangan Warisan berkata, beliau mendapat laporan daripada penduduk bahawa berlaku runtuhan baharu di kawasan berkenaan susulan hujan lebat.
Katanya, kanvas digunakan untuk menutup lereng bukit yang runtuh juga telah terbuka.
“Lokasi ini terletak betul-betul di tepi jalan yang merupakan jalan pintas dari jalan Penampang-Papar ke Putatan yang mempunyai kepadatan penduduk lebih 3,000 orang selain berhampiran kem Lok Kawi.
“Memandangkan banyak aduan sudah dibuat tapi tiada tindakan holistik daripada SESB, maka pihak kerajaan harus masuk campur untuk kebaikan bersama,” katanya.