
Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, “pemangsa asing yang menunggu untuk mencuri bakat-bakat kita” berkemungkinan menjadi pihak yang mendapat keuntungan paling besar daripada keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menamatkan tempoh ikatan tersebut.

Beliau dan bekas timbalannya, Dr Lee Boon Chye, bercakap mengenai kemungkinan penghijrahan doktor kontrak, dengan Dzulkefly berkata, pegawai-pegawai kontrak mungkin akan memilih untuk berkhidmat di sektor swasta, dan ini akan menyekat kemajuan perkhidmatan kesihatan.
Lee berkata, penamatan ikatan tersebut akan menyebabkan biasiswa menjadi “pembaziran dana kerajaan dan penyelewengan sumber manusia”. Ini mencerminkan perancangan jangka panjang yang lemah, tambahnya.
Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, perancangan yang gagal itu bermula dengan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan terlalu ramai graduan perubatan dihasilkan universiti tempatan, dan dengan JPA memberikan biasiswa untuk jawatan yang tidak diperlukan oleh kerajaan.
Dzulkefly, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berkata keputusan JPA itu mengkhianati kepercayaan pembayar cukai terhadap kerajaan. Malaysia berisiko menjadi negara sumber golongan bijak pandai bagi negara lain dengan merugikan pembayar cukainya sendiri.
Tidak cukup hanya melahirkan sumber manusia tanpa mengekalkan mereka untuk berkhidmat kepada negara, katanya.
Pada Sabtu, JPA mengumumkan bahawa doktor, doktor gigi dan ahli farmasi yang menerima biasiswa kerajaan akan dibebaskan daripada ikatan untuk berkhidmat dengan kerajaan. Bagaimanapun, mereka mempunyai pilihan untuk meneruskan perkhidmatan.