Selaras semula caj bilik dalam USD, kata pengusaha hotel

Selaras semula caj bilik dalam USD, kata pengusaha hotel

Persatuan Hotel Malaysia mengatakan langkah penyelarasan semula kadar harga bilik hotel dapat menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke negara ini.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menjangkakan industri perhotelan hanya mampu pulih sepenuhnya seperti era pra-pandemik seawal akhir tahun depan.
PETALING JAYA:
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) meminta kerajaan menyelaraskan kadar bilik dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) bagi memastikan industri perhotelan di negara ini kekal berdaya saing.

Setiausaha Agung, MAH Megat Shahrul Azman Abas, berkata langkah itu diyakini dapat menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke negara ini.

“Kerajaan sebelum ini tidak menggalakkan hotel di Malaysia berbuat demikian kerana menganggap bahawa kadar bilik yang lebih rendah berbanding negara lain mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Malaysia.

“Namun, ia terbukti tidak benar apabila pelancong masih berterusan melancong serta menginap di hotel negara jiran walaupun kadar bilik mereka adalah lebih tinggi daripada kita,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, timbul persepsi dalam segelintir pelancong yang sangsi dengan kualiti hotel di Malaysia sehingga tidak ingin berkunjung ke negara ini disebabkan harga ditawarkan jauh lebih rendah berbanding negara lain.

“Persepsi itu tidak benar kerana kualiti perkhidmatan hotel yang ahli kami tawarkan sememangnya setanding negara lain.

“Jadi, kami berpandangan wajar untuk kita menyelaraskan harga bilik supaya tidak timbul lagi masalah seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Shahrul berkata, MAH menjangkakan industri perhotelan hanya mampu pulih sepenuhnya seperti era pra-pandemik seawal akhir tahun depan.

Katanya, persatuan itu menjangkakan industri perhotelan tempatan menjangkakan hanya mampu mencapai sekurang-kurangnya 50% pemulihan seperti 2019 tahun ini.

“Kehadiran pelancong asing masih rendah setakat ini disebabkan oleh beberapa masalah seperti kebimbangan terhadap kemunculan varian baharu Covid-19, harga tiket penerbangan mahal dan sebagainya.

“Jadi untuk tahun ini dan 2023, kami masih memberi fokus kepada pelancongan domestik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.