RUU anti-lompat parti tak perlu kelulusan Jemaah Menteri

RUU anti-lompat parti tak perlu kelulusan Jemaah Menteri

Menteri Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata rang undang-undang anti-lompat parti kini dengan jawatankuasa Parlimen.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jawatankuasa pilihan Parlimen bukan bawah cabang eksekutif kerajaan.
PETALING JAYA:
Rang undang-undang anti-lompat parti tidak perlu kelulusan Jemaah Menteri kerana ia kini bawah tanggungjawab Parlimen, kata Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kelulusan Jemaah Menteri tak lagi perlu apabila jawatankuasa pilihan Parlimen diberi tanggungjawab mendraf dan menghalusi rang undang-undang.

“Ia menjadi tanggungjawab Parlimen apabila RUU diserahkan kepada jawatankuasa pilihan, dan tak perlu lagi serah memorandum kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan,” katanya kepada FMT.

“Ini kerana jawatankuasa pilihan itu instrumen Parlimen dan bukan bawah cabang eksekutif.”

Beliau menambah jawatankuasa itu hanya perlu menyerahkan laporan kepada Jemaah Menteri, yang menjawab persoalan bersabit RUU itu yang berbangkit dalam mesyuarat Jemaah Menteri lalu.”

“Saya akan serahkan satu notis kepada Jemaah Menteri pada 13 Julai,” katanya.

“Notis ini bukan untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri tetapi memaklumkan ia tentang penjelasan jawatankuasa mengenai soalan-soalan yang berbangkit.”

Wan Junaidi berkata semua Ahli Parlimen akan diberi masa secukupnya untuk membaca dan mempertimbangkan RUU itu apabila ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Julai nanti.

Minggu lepas dilaporkan beberapa ahli politik cuba melengahkan RUU itu agar tidak diluluskan sebelum PRU akan datang, supaya mereka boleh melompat parti selepas pilihan raya.

Sebelum ini Wan Junaidi berkata beliau berharap RUU anti-lompat parti dapat dibentang dan dilaksanakan sebelum PRU.

Undang-undang itu antara syarat persetujuan politik antara perdana menteri dan Pakatan Harapan pada September. Ia sepatutnya dibentangkan pada Mac lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.