
Pengarah Bait Al-Amanah, Abdul Razak Ahmad, berkata rasional kerajaan Kelantan itu susah difahami kerana perniagaan beroperasi semasa perayaan tidak pernah menghalang kewajipan agama.
Bekas perunding Majlis Tindakan Ekonomi Negara itu berkata pendekatan “kerajaan besar” (big government) ternyata tidak bagus untuk ekonomi dan menjejaskan perniagaan.
“Keputusan seperti itu menghantar mesej yang salah mengenai sambutan Aidiladha,” katanya kepada FMT.
Majlis Perbandaran Kota Bharu mengarahkan semua premis, termasuk pasar raya dan kedai serbaneka, ditutup pada hari pertama Aidiladha, dalam satu notis minggu lepas. Kegagalan mematuhi peraturan itu boleh menyebabkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pemilik premis termasuk pembatalan lesen perniagaan.
Difahamkan, semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu menerima arahan serupa bagi dikuatkuasakan di kawasan pentadbiran masing-masing, menurut Astro Awani.
Razak berkata arahan seperti itu tidak membantu usaha memulihkan ekonomi dan akan menyebabkan pelabur berwaspada terhadap Kelantan dan Malaysia.
Beliau juga tertanya kenapa komuniti peniaga bukan Islam turut terkena, “sedangkan perniagaan mereka sama sekali tidak mencabar kemuliaan Aidiladha?”
Pada 2019, Kelantan mengarahkan restoran ditutup dari 8.30 malam hingga 10 malam semasa Ramadan bagi menggalakkan orang Islam menunaikan solat tarawih.