
James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, tinjauan itu tidak menggambarkan sentimen sebenar pengundi memandangkan saiz sampel yang kecil, manakala Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata ia tidak boleh dipercayai begitu saja.
Chin berkata, sebelum tinjauan itu dilakukan juga, konsensus umum ialah Anwar, yang merupakan ketua PKR dan Pakatan Harapan (PH), telah melepasi tempoh jayanya dalam politik.
“PKR dan PH mesti menyingkirkan Anwar dan menggantikannya dengan orang lain jika mereka mahu melakukan yang lebih baik,” katanya. “Tetapi cara PKR disusun menjadikannya sangat sukar untuk menyingkirkannya.”
Tinjauan itu dilakukan oleh Invoke, sebuah firma analitik milik Rafizi Ramli yang menemubual 3,000 responden terdiri daripada separuh ahli PKR dan separuh lagi adalah pengundi.
Sebanyak menunjukkan 49% responden berasa positif terhadap Nurul Izzah berbanding Anwar yang hanya memperolehi 29%.
Chin berkata, tidak ada petunjuk jelas bahawa parti atau gabungan itu akan menjadi lebih baik sekiranya Nurul Izzah menggantikan Anwar.
Azmi berkata, sudah tiba masanya untuk Anwar memberi laluan kepada muka baharu. Bagaimanapun, beliau menyuarakan keraguan terhadap keupayaan Nurul Izzah sebagai pemimpin.
“Walaupun Nurul Izzah mungkin popular berdasarkan tinjauan itu, ia tidak semestinya bermakna beliau adalah pemimpin yang baik. Ia masih belum dapat dilihat sama ada beliau akan menjadi presiden PKR yang baik tetapi persoalan timbul apabila beliau menarik diri daripada pemilihan parti baru-baru ini.
“Seorang pemimpin sejati tidak akan memilih keluar dari mana-mana pemilihan.”