
“Ini jelas bukan masa yang sesuai untuk mereka (Bersatu) membincangkan jawatan (timbalan perdana menteri).
“Rakyat sedang bergelut dengan inflasi dan kenaikan kos barang, yang merupakan beban besar,” kata Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahaya kepada FMT.
“Oleh itu, saya fikir (Bersatu) harus memberi tumpuan kepada ekonomi dan rakyat, dan bukannya bercakap mengenai jawatan TPM.”
Komen Marzuki itu susulan kenyataan yang dibuat pada 2 Julai oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan pelantikan Kabinet, di mana pelantikan TPM juga telah dibangkitkan.
Muhyiddin berkata, pelantikan TPM adalah sebahagian daripada perjanjian antara PN dan Ismail, yang kerajaannya disokong oleh gabungan yang terdiri daripada Barisan Nasional, PN, GPS dan parti lain.
Dua hari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, tiada persetujuan rasmi antara kedua-dua parti mengenai jawatan itu, walaupun beliau mengakui terdapat perbincangan ketika Ismail mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri.
Semalam, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail mengenai jawatan TPM. Beliau berkata, perjanjian itu disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan seorang lagi dari Umno.
Tindakan Muhyiddin membincangkan jawatan TPM mendapat kritikan pelbagai pemimpin, terutamanya Ketua Pemuda Umno Asyraf Wadi Dusuki dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang menuduh bekas perdana menteri itu tersilap keutamaan.
Kedua-dua mereka berkata, tidak wajar bagi Muhyiddin menumpukan perhatian kepada jawatan TPM ketika rakyat masih bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.