
Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap berkata, setakat ini tiada mana-mana individu atau pihak yang tampil membuat laporan rasmi kepada pihaknya.
“Pihak kami sendiri ada membuat tinjauan dan siasatan awal untuk mengenal pasti kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM.
“Sekiranya ada kesalahan dikesan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa lain, SPRM akan serahkan untuk tindakan pihak berkuasa berkenaan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, SPRM juga akan bertemu dengan beberapa pihak lain bagi tujuan pengesahan.
Shaharom Nizam turut menggesa individu atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan rasuah berkaitan isu terbabit untuk tampil bagi tindakan lanjut SPRM.
Isnin lalu, tiga nyawa terkorban manakala beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir lumpur melanda di Kampung Iboi, Baling.
Kejadian itu turut menyebabkan lebih 80 rumah terjejas.
Dua hari kemudian, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak mempunyai kepentingan terhadap projek tanaman durian musang king di Gunung Inas, yang didakwa antara penyebab bencana Isnin lalu.
Sebaliknya, tegas beliau, arahan supaya menghentikan penanaman durian itu dikeluarkan pada Julai 2020, iaitu selepas dua bulan beliau menjadi Menteri Besar yang turut melibatkan arahan kerja penanaman tanaman tutup bumi.