Penyanyi rap, Altimet menang ketua PKR Ampang, tewaskan Hans Isaac selepas kiraan semula

Penyanyi rap, Altimet menang ketua PKR Ampang, tewaskan Hans Isaac selepas kiraan semula

Altimet mendapat 743 undi mengatasi Hans Isaac, 734 undi.

Penyanyi rap, Altimet (Syed Ahmad Syed Abdul Rahman) menang di Ampang dengan kelebihan tipis mengalahkan pelakon dan penerbit, Hans Isaac. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Susulan kiraan semula, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, atau lebih dikenali, Altimet, diumumkan sebagai ketua bahagian Ampang, menewaskan pelakon serta penerbit, Hans Isaac, dengan kelebihan sembilan undi.

Paparan dalam laman web keputusan pemilihan PKR, mendapati Altimet mendapat 743 undi mengatasi Isaac, 734 undi. Selain itu, jawatan itu turut ditandingi tujuh calon lain.

Altimet berkata, objektif pertama sebagai ketua bahagian adalah memperkukuh hubungan antara ahli di bahagian berkenaan sebagai persediaan menuju pilihan raya umum.

“Ini merupakan tanggungjawab besar kepada sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi orang seperti saya seorang pendatang baharu dalam lapangan ini. Namun, saya tidak akan berseorangan menggalasnya kerana ia adalalah usaha bersama antara semua ahli parti lain,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, jawatan kepimpinan bahagian Ampang sudah diisi dengan individu berbakat dan bersemangat.

Isaac sebelum ini dinamakan sebagai pemenang bagi jawatan itu, pada 1 Jul. Beliau turut memuat naik gambar di media sosial, menunjukkan beliau menandatangani dokumen dengan kapsyen, “gembira mengumumkan secara rasminya ia menjadi rasmi”, disusuli tanda pagar “Ketua Cabang Ampang”.

Altimet sebelum itu hanya ditewaskan dengan dua undi. Beliau memohon kiraan semula dilaksanakan.

Katanya, beliau ada berbincang keputusan itu dengan Isaac, yang bersetuju margin kemenangan terlalu tipis, menurut The Vibes.

Isaac menyertai PKR, pada 2020, manakala Altimet menyusuli tahun berikutnya.

Majlis Pimpinan Pusat memuktamadkan keputusan, semalam, dalam pemilihan parti yang berlangsung, baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.