
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), ibu bapa perlu menggunakan CRS agar kadar kemalangan dan nahas jalan raya yang melibatkan kanak-kanak dapat dikurangkan.
“Ketika ini terdapat satu program yang masih dijalankan iaitu Subsidi Pembelian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) yang bertujuan untuk membantu golongan B40 memiliki CRS pada harga mampu milik,” katanya, menurut Bernama.
Kata MIROS, sehingga kini jumlah penerima yang layak untuk menerima subsidi di bawah Program MyCRS itu adalah sebanyak 256,202 daripada 473,346 pemohon iaitu melebihi 36% daripada sasaran asal jumlah penerima subsidi, iaitu sebanyak 188,000 penerima.
Katanya, bagi permohonan yang berjaya akan dilanjutkan tempoh sah subsidi pembelian kepada tiga bulan dari tarikh semakan dan mereka perlu mengambil kesempatan itu dengan membeli CRS dari 259 wakil penjual bertauliah di seluruh negara.
Menurut MIROS, ia juga menjalankan Program Jelajah Subsidi MyCRS bagi meningkatkan pembelian MyCRS yang disubsidi seterusnya meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pentingnya penggunaan CRS.
MIROS berkata program yang bermula bulan ini dilaksanakan di klinik-klinik kesihatan serta lokasi terpilih lain di beberapa negeri di Semenanjung.
Melalui program itu, MIROS akan membantu orang awam yang berkelayakan untuk mendaftar dan mendapatkan kelulusan permohonan subsidi dengan segera.
Maklumat lanjut berkenaan tarikh Program Jelajah Subsidi MyCRS akan dimaklumkan dari semasa ke semasa di media sosial dan rasmi MIROS.