
Berita duka itu dimaklumkan oleh isteri Siti Hawa Samsam.
“Dukacita dimaklumkan suami Ahmad Lutfi Othman telah kembali ke rahmatullah pada pukul 2.10 minit pagi tadi,” katanya di Facebook.
Beberapa pemimpin politik turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham iaitu Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
Mohamad berkata, pemergian Ahmad Lutfi dianggap sebagai sebuah kehilangan besar kepada partinya.
Katanya, Ahmad Lutfi juga menghembuskan nafas terakhir pada hari kelahirannya yang ke-59 dan pada hari Arafah.
“Kehilangan besar kepada Parti Amanah Negara.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengurniakan syurga yang tertinggi buatnya, mengampunkan segala dosa dan khilafnya serta diterima semua amal ketaatan dan kebaikannya sepanjang hayatnya yang penuh dengan kebaikan,” katanya di Facebook.
Menurut Harakahdaily, sepanjang kerjaya beliau sebagai wartawan, Ahmad Lutfi pernah dua kali menerajui akhbar itu dan ketika itu pernah mencatat sejarah apabila akhbar dicetak lebih 300,000 naskhah bagi satu edisi.