591 mangsa banjir masih di 3 PPS

591 mangsa banjir masih di 3 PPS

Semua mangsa masih belum pulang susulan keadaan rumah yang tidak boleh didiami lagi.

Seorang penduduk kampung melihat barangan dan pakaian dipenuhi lumpur selepas rumahnya dinaiki air dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air Isnin lalu di daerah ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 591 mangsa banjir di Baling, Kedah masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7 pagi tadi.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Rasidah Kassim, seramai 159 orang mangsa berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai dan 257 orang di PPS Surau An-Nur Taman Mesra.

Sementara, PPS Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah di Kupang pula menempatkan 175 orang.

Rasidah berkata semua mangsa masih belum pulang susulan keadaan rumah yang tidak boleh didiami lagi.

“Buat masa sekarang kebanyakan rumah masih berlumpur dan banyak barangan rumah termasuk perkakas memasak rosak dan tiada kemudahan air bersih.

“Esok hari raya (Aidiladha), kita terus beroperasi seperti biasa, menerima panggilan dan merekodkan data mangsa banjir selain membantu mereka,” katanya, menurut Harian Metro.

Katanya lagi, kebajikan semua mangsa banjir di PPS terjaga dan golongan berkeperluan terutama warga emas sentiasa dipantau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.