Tuntut kerajaan tubuh suruhanjaya bebas siasat salah laku, AIM saman pemimpin Pejuang

Tuntut kerajaan tubuh suruhanjaya bebas siasat salah laku, AIM saman pemimpin Pejuang

AIM pada 17 Feb menghantar notis tuntutan kepada seorang pemimpin Pejuang agar memohon maaf secara terbuka selain menuntut membayar ganti rugi RM1 juta.

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengemukakan saman sivil terhadap Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang Armin Baniaz Pahamin selepas beliau menuntut suruhanjaya bebas ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat dakwaan salah laku di agensi itu.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang berdepan saman sivil dikemukakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) susulan gesaannya supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat dakwaan salah laku pengurusan agensi pemberi kredit mikro itu.

Armin Baniaz Pahamin yang juga pengerusi Biro Ekonomi Pejuang, berkata ia susulan daripada dua kenyataan media dikeluarkan pada 11 Okt 2021 dan 8 Nov 2021, berdasarkan laporan diterima pihaknya.

Katanya, pada 17 Feb lalu, AIM melalui Tetuan Kamarudin & Partners telah menghantar notis tuntutan yang antara lainnya, memohon saya meminta maaf secara terbuka di atas kononnya, kata-kata fitnah dalam kedua-dua kenyataan media dan menuntut dirinya membayar ganti rugi berjumlah RM1 juta kepada agensi berkenaan.

Katanya, beliau tidak berniat menuduh AIM, namun menuntut kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi membantu siasatan berdasarkan dakwaan yang diterima pihaknya.

“Pada 14 Jun 2022, AIM memfailkan saman sivil terhadap saya. Pada 7 Jul, peguam saya telah memfailkan pembelaan saya untuk pendengaran mahkamah pada 8 Jul 2022. Saya menafikan setiap satu pernyataan dan/atau alegasi fitnah di dalam saman tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua kenyataan media dikeluarkan berdasarkan laporan diterima dan benar dari segi substans dan faktanya dan matlamat agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas untuk menyiasat segala dakwaan dikemukakan.

“Sebagai ahli Majlis Eksekutif Pusat dan pengerusi biro ekonomi pusat Pejuang adalah menjadi kewajipan saya untuk mengetengah isu yang sedang dihadapi antaranya para ‘Sahabat’, kakitangan AIM, AIM, dan adalah munasabah jika isu-isu urus tadbir AIM dibawa ke perhatian umum masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.