Tiba masa gubal dasar cuti sakit haid, kata ahli Parlimen

Tiba masa gubal dasar cuti sakit haid, kata ahli Parlimen

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, ia akan menggalakkan kesetiaan dan produktiviti pekerja.

Senggugut boleh memberi kesan ketara terhadap kesihatan wanita dan produktiviti mereka di tempat kerja, kata NGO diketuai wanita, Lean In Malaysia. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa penggubalan dan penguatkuasaan segera dasar yang menghendaki majikan membenarkan wanita bercuti sakit haid, jika mereka memerlukannya.

Katanya, ini akan menggalakkan kesetiaan dan produktiviti pekerja.

Beliau memberi contoh Jepun dan Indonesia berjaya melaksanakan dasar cuti haid.

Santiago berkata, terdapat kesedaran di negara terbabit mengenai betapa teruknya sakit haid bagi sesetengah wanita.

“Ini perlu dijadikan dasar tetap di Malaysia sejak dulu lagi dan dilihat sebagai langkah progresif ke arah meningkatkan produktiviti dan kesetiaan,” katanya kepada FMT.

Beliau mendakwa majikan di Malaysia lebih berminat mencari keuntungan berbanding menjaga kesejahteraan pekerja mereka, khususnya pekerja wanita.

“Majikan akan sentiasa memberikan alasan apabila mereka sepatutnya bertolak ansur. Ini adalah hak yang mesti diperjuangkan oleh wanita dan lelaki di negara ini.”

Beliau turut menggesa kajian menyeluruh untuk mengawal selia dasar sedemikian dijalankan dan perlu diterajui Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan wanita dan pihak berkepentingan lain.

“Cuti ini bukan untuk seluruh tempoh haid, hanya beberapa hari. Ia mesti dikawal selia dengan ketat supaya tidak disalahgunakan.”

Kajian terbaru mengenai gejala berkaitan haid di Malaysia mendapati 86% wanita mengalami senggugut teruk dan 81% daripadanya berkata ia menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja.

Jurucakap Lean In Malaysia, NGO yang diketuai wanita menggesa sakit haid itu diperakui.

“Endometriosis, sindrom ovari polisistik dan penyakit lain memberi kesan ketara terhadap kesihatan wanita dan produktiviti mereka di tempat kerja,” kata jurucakap itu yang memetik satu kajian menunjukkan gejala senggugut boleh menyebabkan kehilangan produktiviti di tempat kerja selama sembilan hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.