
“Saya benar-benar mohon maaf,” katanya kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Azhar Abdul Hamid dari kandang tertuduh.
Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan mahkamah satu laporan polis dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Taufik Awaludin semalam berhubung hantaran Syed Saddiq di Instagram yang mengulas kredibiliti dan keterangan saksi utama, Rafiq Hakim Razali di mahkamah.
“Perkara ini telah berlaku beberapa kali. Malah (hakim sebelum ini) Hakim Zaini (Mazlan) telah memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas kesnya.
“Mahkamah sepatutnya menjadi pihak yang membuat penemuan fakta ke atas Rafiq, sama ada dia saksi boleh dipercayai dan sama ada keterangannya boleh diterima,” kata Wan Shaharuddin.
Beliau berkata, pihak pendakwaan mungkin mempertimbangkan mendakwa Syed Saddiq kerana menghina mahkamah.
Peguam Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah bahawa pasukan peguam telah meminta Syed Saddiq tidak berkongsi atau menghantar sebarang ciapan mengenai kes berkenaan.
“Ia tidak disengajakan. Ciapan (itu) telah dipadamkan,” katanya.
Azhar berkata, mahkamah mengambil maklum perkara ini yang disifatkannya “agak serius”.
“Rakan saya (Hakim Zaini dan Collin Lawrence Sequerah) telah memberi pelbagai amaran mengenai perkara sama. Biar ini jadi amaran terakhir kepada semua pihak agar tidak membuat ulasan,” katanya.
Awal minggu ini, pasukan pembelaan Syed Saddiq memohon maaf kepada mahkamah selepas peguam Lim Wei Jiet mengulas mengenai kes itu, selepas satu laporan polis dibuat pegawai SPRM terhadapnya bulan lalu.
Kenyataan saksi utama didakwa bercanggah
Mahkamah turut mendengar hujah daripada Gobind dan Wan Shaharuddin mengenai usaha pihak pembelaan untuk mendakwa Rafiq atas dakwaan kenyataannya “bercanggah”.
Gobind berkata, keterangan saksi Rafiq, yang tidak dikemukakan di mahkamah, berdasarkan apa yang diberitahunya kepada SPRM dalam siasatan pada 2020.
Beliau menunjukkan kandungan kenyataan saksi Rafiq yang bercanggah dengan keterangan lisannya.
“Pendirian kami ialah dia boleh didakwa,” katanya sambil menambah pihak pembelaan mungkin memfailkan permohonan untuk meminta SPRM mengeluarkan kenyataan yang direkodkan pihak berkuasa daripada Rafiq pada 2020.
Wan Shaharudin berhujah, kenyataan saksi itu tidak boleh diterima kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakannya kepada mahkamah.
“Dokumen itu tidak mempunyai kuasa undang-undang,” katanya.
Mahkamah akan membuat keputusan berhubung cubaan pendakwaan itu pada 18 Julai ini, apabila perbicaraan disambung semula.