
Pegawai tinggi kerajaan negeri itu, mengesahkan perkara berkenaan kepada FMT. Beliau berkata, permintaan itu dipersetujui ECK Development Sdn Bhd (ECK), pada Mei.
Pegawai itu berkata, syarikat terbabit gagal melunaskan pembayaran deposit kepada kerajaan bagi tujuan perolehan tanah yang mana bernilai sekurang-kurangnya RM2 bilion.
Katanya, tujuh ke lapan pihak lain kini berminat untuk bersaing mendapatkan projek lapangan terbang berkenaan, yang akan disemak imbang oleh KXP Holdings Sdn Bhd, syarikat tujuan khas yang diwujudkan bagi pengurusan projek terbabit.
FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada ECK.

Pegawai itu ketika mengulas lanjut, berkata menteri besar Kedah telah menegaskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa kegagalan menepati terma projek akan menjadikan perjanjian awal terbatal dan tidak sah.
“Jadi, syarikat itu terpaksa digugurkan daripada projek berkenaan,” katanya memberitahu FMT.
Pada Apr, syarikat itu menafikan dakwaan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir bahawa mereka mendapat keuntungan durian runtuh daripada projek terbabit tanpa membayar satu sen bagi projek itu.
Syarikat itu juga menafikan mereka terjun ke dalam perjanjian pembinaan perumahan seperti didakwa, sambil menyatakan, sudah membayar tunggakan dan mengatakan “kami tidak membuat sebarang keuntungan atau mendapat sebarang manfaat”.
ECK dan Ivory Properties Group dilaporkan The Star bersetuju membangunkan projek perumahan di tapak seluas 54 hektar (135 ekar), di projek Aerotropolis berkenaan.
ECK menandatangani perjanjian dengan kerajaan Kedah, pada 2 Ogos bagi membina lapangan terbang di kawasan seluas 1,700 hektar, berdekatan Sungai Petani. Ia dijangka mampu menampung 15 juta penumpang setahun apabila siap sepenuhnya kelak.
Syarikat terbabit juga bersetuju membelanjakan RM6 bilion bagi fasa pertama projek lapangan terbang, termasuk kos perolehan tanah, dengan tambahan RM1 bilion akan dibelanjakan untuk fasa terakhir, yang turut merangkumi projek pembangunan bercampur “Aerotropolis”.
Kerajaan negeri pada awal, berkata lapangan terbang itu dijangka membuat penerbangan pertama seawal 2026.
Pada Apr, Menteri Besar Sanusi Md Nor, berkata kerajaan pusat tidak menyatakan bantahan terhadap projek itu kerana ia dilaksanakan atas inisiatif pembiayaan swasta.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata pada Mei, bahawa semua projek lapangan terbang ditangguhkan sementara menunggu pelan strategik oleh Kementerian Pengangkutan.
“Jadi, sama ada projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang atau lapangan terbang baharu di Kulim, sehingga kini, tiada kelulusan diberikan bagi kedua-dua projek berkenaan,” katanya memberitahu DUN.