Penguatkuasaan lebih ketat jika SOP tidak dipatuhi, KJ beri amaran

Penguatkuasaan lebih ketat jika SOP tidak dipatuhi, KJ beri amaran

Menteri kesihatan berkata pematuhan SOP dalam kalangan orang ramai seperti pemakaian pelitup muka kelihatan semakin longgar sejak akhir-akhir ini.

Kementerian Kesihatan telah menghentikan pengeluaran notis kompaun kepada mereka yang melanggar SOP sejak 17 April, sejajar dengan peralihan negara kepada endemik.
PETALING JAYA:
Berikutan kelonggaran dalam pematuhan SOP Covid-19 sejak belakangan ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi amaran bahawa penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat akan dilaksanakan.

Khairy berkata, kerajaan boleh menguatkuasakan semula Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang merupakan peruntukan dalam memberi kompaun sebelum Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik itu.

Katanya, pematuhan SOP di kalangan orang ramai seperti pemakaian pelitup muka kelihatan semakin longgar sejak akhir-akhir ini.

“Jika kes Covid-19 terus meningkat, kementerian kesihatan tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan Akta 342 semula,”katanya pada sidang media.

Khairy berkata,kementerian kesihatan berhenti mengeluarkan notis kompaun kepada mereka yang melanggar SOP sejak 17 April lalu, sejajar dengan peralihan negara ke fasa endemik.

Beliau berkata, terdapat peningkatan sebanyak 31% dalam kes Covid-19 dalam tempoh lima hari lepas berbanding minggu sebelumnya,sambil menambah Subvarian Omicron BA.5 yang lebih mudah berjangkit berisiko menjadi punca peningkatan itu.

Bagaimanapun, Khairy berkata penurunan RT-PCR, yang membolehkan kementerian menjalankan penjujukan genom secara langsung membawa makna jumlah sebenar jangkitan yang melibatkan varian BA.5 mungkin lebih tinggi daripada yang direkodkan.

Kementerian Kesihatan meramalkan jumlah kes baharu Covid-19 akan terus meningkat dalam tempoh satu hingga tiga bulan yang akan datang, sambil menasihatkan mereka yang masih belum menerima dos penggalak untuk berbuat demikian secepat mungkin.

Khairy berkata,setakat 7 Julai, hanya 68.6% daripada populasi dewasa yang telah mengambil dos ketiga vaksin mereka dan hanya 6.1% yang telah mengambil dos penggalak kedua.

Sementara itu katanya, mereka yang berumur 5 hingga 17 tahun dengan sistem imun badan lemah turut digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak dua bulan selepas dos kedua mereka.

Kementerian Kesihatan juga menjangkakan peningkatan kes Covid-19 baharu,dengan lebih ramai orang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Haji.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk membuat ujian kendiri, terutamanya bagi mereka yang akan melawat saudara-mara yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata siasatan berhubung kematian seorang pesakit berusia 43 tahun yang henti jantung di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh akan dijalankan oleh pasukan petugas khas pada 14 Julai ini.

Beliau juga mengatakan bahawa terdapat 91 orang pegawai perubatan telah mendapat kelulusan untuk dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) pada 18 Julai berikutan isu kekurangan doktor awal bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.