
Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan pendengaran pada 3 Ogos ini.
Terdahulu, Sequerah menolak permohonan peguam Lokman, K Balaguru untuk beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.
“Pada pandangan saya, saya adalah orang paling seusai mendengar perkara itu kerana ia berlaku dalam mahkamah saya,” kata Sequerah, yang juga hakim perbicaraan dalam kes Zahid.
Hakim itu bagaimanapun membenarkan permohonan Balaguru untuk mengeluarkan sepina kepada Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan Zahid, bagi memberi keterangan.
“Demi keadilan, timbalan pendakwa raya boleh disoal balas kerana beliau yang membangkitkan perkara itu.”
Pada 30 Jun lalu, Raja Rozela melaporkan kepada Sequerah, ada orang awam “bertindak balas” apabila seorang anggota polis memintanya tidak “bermain” dengan telefon bimbitnya.
Ditanya sama ada individu terbabit masih berada dalam mahkamah, Lokman yang berada di galeri awam terus berdiri dan memaklumkan beliau sedang “menaip” di telefon bimbitnya.
Berdasarkan notis tunjuk sebab yang dibacakan kepada Lokman di mahkamah Isnin lalu, beliau didakwa berkata: “Orang di depan dibenarkan, jadi mengapa saya tidak boleh? Bodoh!”
Pada awal prosiding hari ini, Balaguru memaklumkan Sequerah bahawa Lokman mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu kerana beliau tidak melakukan menghina mahkamah.
“Beliau tidak merujuk kepada anggota polis itu ketika berkata ‘bodo’, tetapi (merujuk) SOP mahkamah,” katanya.
Balaguru yang dibantu S Velan berkata, anggota polis itu terlebih dahulu memberitahu penolong pendaftar kanan mahkamah mengenai kejadian berkenaan.
Katanya, penolong pendaftar kanan kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada Raja Rozela, yang memaklumkan perkara itu kepada hakim.