Lawan kartel, NGO gesa boikot beli ayam hingga harga turun

Lawan kartel, NGO gesa boikot beli ayam hingga harga turun

Ikhlas mencadangkan agar rakyat berhenti atau paling tidak, mengurangkan pembelian ayam.

Ikhlas berkata, ia akan membatalkan cadangan boikot itu jika harga siling ayam diturunkan kepada kira-kira RM8 sekilogram.
PETALING JAYA:
Dalam usaha membanteras “kartel ayam”, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa rakyat untuk berhenti, atau paling tidak, mengurangkan pembelian ayam mentah sehingga harganya turun.

“Jika dalam seminggu anda beli tujuh ekor ayam, cuba kurangkannya kepada dua. Jika boleh, jangan beli langsung sehingga harga turun,” kata Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah pada sidang media.

“Mari kita tunjuk siapa lebih kuat, kartel ke kita?”

Ridzuan berkata, kartel itu yang didakwanya terdiri daripada vendor, NGO dan persatuan yang mengawal import dan bekalan ayam, menjadi dalang kenaikan harga.

Menurutnya, pihak yang terlibat dengan kartel itu bukan sahaja terdiri daripada rakyat Malaysia, tetapi juga warga asing, termasuk vendor.

Beliau memberi amaran bahawa isu kenaikan harga ayam mungkin boleh menjejaskan keselamatan negara kerana daging ayam ialah antara makanan ruji bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Ridzuan berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap kartel itu minggu depan.

“Kami harap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Mengenai harga siling semasa RM9.40 untuk sekilogram ayam, beliau berkata, ia perlu dikurangkan kepada sekitar RM8 sebelum Ikhlas setuju boikot dihentikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.