
“Amaran bersyarat” itu memerintahkan LFL dan Zaid untuk tidak melakukan sebarang “salah laku jenayah” selama 24 bulan.
Jika gagal, mereka mungkin didakwa atas kesalahan menghina mahkamah, yang membawa hukuman sehingga tiga tahun penjara, denda SGD100,000 (kira-kira RM316,000) atau kedua-duanya sekali.
Zaid berkata, beliau ditahan dan disoal siasat oleh polis Singapura selama dua hari ketika berada di sana untuk memberikan nasihat guaman kepada keluarga Kalwant Singh, yang digantung semalam kerana mengedar dadah.
Beliau menyifatkan penahanannya dan dua sesi soal siasat polis sebagai “mendatangkan ketakutan dan gangguan” disebabkan tugasnya mewakili banduan akhir rakyat Malaysia dan bersuara menentang hukuman mati Singapura.
“Apa yang serius juga ialah saya ditahan dan disiasat mengenai kenyataan yang dikeluarkan di Malaysia, bukan Singapura,” katanya dalam kenyataan.
“Dengan berbuat demikian, pihak berkuasa Singapura secara berbahaya menuntut bidang kuasa luar wilayah ke atas rakyat Malaysia yang membuat kenyataan di Malaysia.”
Zaid berkata, setibanya beliau di Singapura pada Isnin, seorang pegawai Imigresen memaksanya menunggu empat jam sebelum polis memberitahu beliau akan disiasat kerana menghina mahkamah berhubung kenyataan pada 2020 berhubung nasib banduan akhir rakyat Malaysia di Singapura.
Beliau diberi amaran untuk tidak meninggalkan negara itu sehingga polis melengkapkan siasatan.
Ketika siasatan polis pada Rabu, katanya, beliau diberikan satu notis mendakwanya telah menghina mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan di Malaysia yang diterbitkan oleh portal berita tempatan, berhubung penolakan saman yang difailkan banduan akhir Gobi Avedian dan Datchinamurty Katiah.
Pada malamnya, polis memaklumkan Zaid bahawa siasatan mereka mendapati beliau “telah melakukan kesalahan menghina mahkamah”, dan beliau diberikan dua surat “amaran bersyarat”, ditujukan kepadanya dan LFL.
Kenyataan yang disiarkan di laman Facebook itu turut memuatkan gambar surat amaran dikeluarkan.
Zaid berkata, disebabkan siasatan polis itu, beliau “terhalang” daripada memberi nasihat guaman kepada keluarga Kalwant sebelum rayuan terakhirnya terhadap hukuman mati, walaupun setelah memaklumkan polis bahawa itu adalah tujuan kunjungannya ke Singapura.
Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir Kalwant pada Rabu, dan dia dihukum gantung bersama seorang lagi yang dituduh bersama-sama, warga Singapura Norasharee Gous, semalam.
Kalwant, 32, disabitkan pada Jun 2016 kerana memiliki 60.15g diamorfin dan mengedar 120.9g dadah itu di negara tersebut.