Kerajaan negeri tak beri jawapan bincang masalah Musang King Gunung Inas

Kerajaan negeri tak beri jawapan bincang masalah Musang King Gunung Inas

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim percaya banyak kolam takungan dibina di kawasan ladang durian di Gunung Inas tidak mengikut spesifikasi sewajarnya sehingga menjadi 'bom jangka' kepada penduduk di bawah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid (tiga, kanan) dah Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim meninjau keadaan semasa di kawasan yang dilanda banjir berikutan hujan berterusan selama tiga jam petang semalam di Kampung Iboi Kupang Selasa lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Baling mendedahkan tiada jawapan diberikan kerajaan negeri tahun lalu berhubung memorandum masalah Gunung Inasyang menempatkan kolam takungan ladang Musang King untuk dibincangkan bersama penduduk.

Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah menyerahkan memorandum itu lapan bulan lalu, selain menyifatkan kegiatan tanaman Musang King sebagai ‘bom jangka’ yang mampu mengakibatkan kejadian banjir dan fenomena kepala air di Kampung Iboi dan kawasan sekitarnya kembali berulang.

“Kita serah memorandum lapan bulan lalu kepada menteri besar (Sanusi Md Nor). Kita minta diadakan ‘town hall’ untuk penduduk bincang, tapi tiada jawapan sehingga kejadian Isnin lalu berlaku.

“Saya tidak suruh ladang durian tutup terus kerana ada perjanjian di antara kerajaan dan syarikat, tetapi kena ada cerdik pandai rancang pembinaan kolam yang ikut prosedur operasi standard (SOP) atau tutup terus semua kolam,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, walaupun kolam berkenaan tidak pecah, namun aliran airnya yang melimpah masuk ke sungai sekali gus meningkatkan aliran arus.

“Seperti Isnin lalu, air dari bukit itu turun ke bawah sehingga ranapkan rumah,” katanya.

Azeez berkata, sehingga kini, beliau tidak menerima sebarang laporan apa tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah itu yang mengundang kebimbangan penduduk tempatan.

Katanya, beliau bersama beberapa penduduk yang mendaki Gunung Inas sebelum ini melihat sendiri banyak kolam takungan dibina di kawasan ladang durian dan percaya ia tidak mengikut spesifikasi sewajarnya.

“Sehingga jadi seperti ‘time bomb’ kepada orang di bawah. Kolam itu dibina tanpa ikut spesifikasi, tiada besi cerucuk ditanam, cuma dikorek dan tadah air hujan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Isnin lalu, lebih 800 rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar Kupang terjejas, termasuk 15 kediaman lenyap dan 18 lagi rosak teruk terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah gunung.

Berhubung keengganan penduduk pulang ke rumah walaupun empat hari bencana berlalu, beliau menegaskan, kerajaan perlu memberi jaminan keselamatan terlebih dahulu sebelum mengarahkan mereka berbuat demikian.

“Kena ada jawapan dari kerajaan, khususnya agensi berkaitan bagi meyakinkan penduduk sama ada rumah mereka selamat diduduki atau tidak. Sekarang kita benarkan mereka pulang ke rumah pada waktu siang, malamnya balik tidur di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.