6 minggu berlalu, keluarga pelajar UUM maut masih menanti jawapan

6 minggu berlalu, keluarga pelajar UUM maut masih menanti jawapan

Peguam keluarga S Vinosiny berkata, kedua-dua polis dan peguam negara tidak menjawab surat yang dihantarnya meminta kemas kini siasatan.

R Sivakumar (kanan) dan peguam M Manoharan selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan pada 27 Mei.
PETALING JAYA:
Keluarga pelajar yang dikatakan maut akibat renjatan elektrik di asrama Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, masih menantikan kemas kini siasatan polis yang dijalankan.

S Vinosiny, 21, meninggal dunia kira-kira enam minggu lepas.

Peguam mereka M Manoharan memberitahu FMT, beliau telah menulis kepada polis Kedah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kes itu, serta Peguam Negara Idrus Harun bagi memohon inkues segera diadakan.

Katanya, kedua-dua surat itu dihantar pada 17 Jun, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

S Vinosiny.

“Keluarga si mati tidak berpuas hati kerana polis dan peguam negara tidak menjawab surat-surat itu,” katanya.

“Kami masih belum menerima laporan bedah siasat, dan sehingga hari ini belum ada inkues diadakan. Kenapa masih tertangguh, apa masalahnya?”

Seminggu selepas kematian anaknya, R Sivakumar pada 27 Mei telah memfailkan laporan polis terhadap UUM, menggesa siasatan menyeluruh dijalankan untuk menentukan sama ada pihak universiti menyelenggara bangunannya dengan betul.

Susulan kejadian itu, UUM berjanji akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa tanpa berselindung.

Ketika menziarahi keluarga mangsa di Klang pada 31 Mei, Naib Canselor UUM Haim Hilman Abdullah berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di kampus di Kedah itu dilakukan mengikut prosedur dan jadual ditetapkan.

FMT telah menghubungi Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad bagi mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.