Syukur, kata Yasin setelah terlepas hukuman mati

Syukur, kata Yasin setelah terlepas hukuman mati

Penyanyi dan komposer itu menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan positif buat dirinya.

Yasin Sulaiman dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman terlepas daripada hukuman gantung sampai mati, selepas Mahkamah Majistret di sini melepas tanpa membebaskannya (DNAA) daripada tuduhan mengedar dadah jenis ganja.

Yasin menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan positif buat dirinya.

“Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya menurut laporan Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret hari ini.

Abanganya, Zain Sulaiman, 50, berkata mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan itu.

“Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya. Namun Alhamdulillah, kami lega dengan perkembangan kes yang Yasin hadapi ini. Saya harap rakan-rakan, teman akan terus berdoa untuk Yasin.”

Terdahulu, tuduhan mengedar 214g dadah terhadap penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu ditarik balik dan dia sebaliknya dituduh atas kesalahan memiliki 193.7g kanabis.

Pengarah Pendakwaan Selangor, Khairul Azreem Mamat dalam prosiding memohon Yasin dilepas tanpa dibebaskan dan dituduh semula bagi pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah sebelum ini menetapkan Rabu untuk sebutan semula kes, namun pihak pendakwaan memohon kes itu DNAA selepas laporan kimia diterima,” katanya di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Yasin yang diwakili peguam Ariff Azami Hussein, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff tidak membantah permohonan itu.

Dalam pada itu, Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, selepas tuduhan memiliki kanabis dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7g di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada 5.30 petang 24 Mac lalu.

Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, pihak pendakwaan memohon tarikh lain bagi serahan dokumen untuk pertuduhan menanam 17 pokok ganja.

Yasin turut mengaku tidak bersalah bagi satu pertuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya jenis “11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid” di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya pada 11.05 malam hari sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB itu membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Jamaludin menetapkan 22 Ogos ini bagi sebutan ketiga-tiga kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.