Sekarang bukan masa sesuai naikkan OPR lagi, kata Pemuda Umno

Sekarang bukan masa sesuai naikkan OPR lagi, kata Pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata walaupun kelihatan kecil namun peningkatan OPR sebanyak beberapa mata asas (bps) memberi impak amat besar kepada rakyat.

Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan seharusnya tidak menyalurkan beban kewangan kepada rakyat ketika masing-masing sedang bangkit memperbaiki keadaan ekonomi.
PETALING JAYA:
Kadar inflasi dijangka terus menekan rakyat jika Bank Negara (BNM) sekali lagi menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, walaupun kelihatan kecil namun peningkatan OPR sebanyak beberapa mata asas (bps) memberi impak yang amat besar kepada rakyat.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan cadangan pembatalan subsidi, pengapungan harga siling dan meningkatkan OPR kerana semua ini bakal meningkatkan kadar inflasi secara langsung,” katanya dalam kenyataan.

Ini kerana katanya, sesebuah keluarga yang mempunyai beberapa pinjaman bank seperti pinjaman rumah, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi mungkin menanggung tambahan kos perbelanjaan sehingga beratus ringgit sebulan.

“Peniaga-peniaga termasuk industri-industri besar yang mempunyai pinjaman perniagaan akan terpaksa menaikkan harga-harga barang atau perkhidmatan mereka yang pastinya akan dibebankan kepada pengguna iaitu rakyat.

“Banyak keluhan bahawa pendapatan rakyat dan perniagaan tidak banyak peningkatan, malah ramai yang berkurang semasa pandemik Covid-19.

“Maka, sebarang peningkatan kos sara hidup atau kos operasi harian yang tidak seimbang dengan kenaikan pendapatan pastinya menyebabkan kadar inflasi meningkat, termasuklah peningkatan OPR,” katanya.

Kelmarin, Moody’s Analytics menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25% pada Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) keempatnya pada minggu ini.

Pada mesyuarat MPC ketiga yang diadakan pada Mei, bank pusat itu telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00%. Kadar siling dan lantai bagi koridor OPR juga masing-masing meningkat kepada 2.25% dan 1.75%.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, kerajaan seharusnya tidak menyalurkan beban kewangan kepada rakyat ketika masing-masing sedang bangkit memperbaiki keadaan ekonomi.

“Peranan kerajaan pada waktu ini adalah sangat penting dalam memastikan kadar inflasi tidak terus meningkat dengan ‘upaya menyeluruh’ bagi memastikan kos berkaitan kehidupan harian rakyat tidak naik.

“Sebaiknya kerajaan harus merancakkan ekonomi negara dengan meningkatkan perbelanjaan bagi peningkatan dan penambahbaikan infrastruktur dan tidak mengadakan sebarang langkah yang boleh menyebabkan kos harian rakyat meningkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.