
Beberapa warganet meluahkan rasa kecewa memandangkan kenaikan kadar OPR berlaku ketika kos sara hidup dan harga barangan turut meningkat.
Pengguna Facebook, William Kee, berkata mereka yang mempunyai pinjaman perumahan atau perniagaan pasti akan lebih terbeban.
“Kemelesetan (ekonomi) sedang berlaku, (orang ramai) tidak dapat menjual rumah sekalipun,” katanya.
Seorang lagi warganet, Edward Kong meramalkan rakyat akan lebih menderita, malah menganggap keadaan itu akibat kerajaan yang “tidak cekap”.
Pengguna Twitter @VokalKita pula berkata keputusan BNM itu langsung tidak kena pada masanya.
“Kes Covid-19 sedang naik semula, kos sara hidup meningkat, dan ketidakpastian dalam ekonomi global masih terasa. Kesan sosial memang akan berlaku dan pasti menjejaskan ekonomi serta politik tidak lama lagi.”
Seorang lagi pengguna Twitter, @satishwaannair berkata, OPR berkemungkinan dinaikkan lagi tahun ini, malah seorang lagi, @datukhensem menjangka BNM akan mengumumkan perkara itu pada September.
Bagaimanapun, Adr Mpa melihat kenaikan kadar faedah itu perlu untuk mengawal inflasi daripada menjadi tidak terkawal.
“Menaikkan kadar faedah bertujuan mencetuskan rasa takut supaya orang ramai mengekang perbelanjaan. Namun, keadaan bakal lebih teruk untuk ekonomi negara kerana masih ramai berbelanja tanpa rasa bimbang.”
Dalam kenyataan dikeluarkan susulan mesyuarat dasar monetari (MPC) hari ini, BNM mengumumkan menaikkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25% daripada 2%.
Pada Mei, bank pusat telah menaikkan OPR kepada 2% daripada 1.75% yang dilaporkan paling rendah pernah direkodkan, berikutan pengurangan 25 mata asas pada Julai 2020, memetik kemerosotan ekonomi global akibat pandemik dan penguncupan aktiviti ekonomi Malaysia.