Penganggur tikam ibu positif dadah

Penganggur tikam ibu positif dadah

Polis berkata, hasil ujian air kencing ke atas suspek itu didapati positif dadah jenis syabu.

Penganggur berusia 38 tahun dibawa ke mahkamah untuk permohonan perintah reman hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suspek yang dipercayai menikam ibu kandungnya hingga mati di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka disahkan positif dadah.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata, hasil ujian air kencing ke atas suspek berusia 38 tahun itu didapati positif dadah jenis syabu.

“Ujian air kencing mendapati lelaki tidak bekerja itu positif dadah jenis Amphetamine.

“Pemeriksaan di tempat kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, duda itu turut mempunyai rekod pesakit psikiatrik.

Katanya, bedah siasat ke atas mangsa masih dijalankan dan dipercayai selesai hari ini.

Anak sulung daripada lima beradik itu direman tujuh hari hingga 12 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian semalam, seorang penganggur dilaporkan menikam ibunya yang juga pesara guru sehingga mati menggunakan pisau pemotong sayur, selepas mangsa keluar dari bilik air, gara-gara terdengar bisikan menyuruhnya membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.