Paip kering, warga P Pinang gegas beli air botol

Paip kering, warga P Pinang gegas beli air botol

Penduduk bersedia menghadapi gangguan bekalan yang dijangka berterusan hingga tengah hari esok selepas loji rawatan air ditutup akibat banjir di Baling, Kedah.

Seorang wanita berjalan menyusuri rak kosong yang sebelum ini diisi air botol di Lotus’s Jelutong, Pulau Pinang. (Gambar JohnShen Lee)
GEORGE TOWN:
Penduduk Pulau Pinang menyimpan bekalan dan bergegas membeli air minuman botol di pasar raya sebagai persediaan menghadapi gangguan yang dijangka  berterusan hingga tengah hari esok.

Ia susulan loji rawatan air terpaksa ditutup akibat banjir di Baling, Kedah.

Tinjauan FMT mendapati sebahagian besar kawasan pulau dan Seberang Perai mengalami gangguan bekalan air.

Sukhindarpal Singh, penduduk Bayan Baru berkata beliau tiada bekalan air sejak tengah hari.

“Tekanan air rendah? Tiada bekalan air langsung. Malah ‘hotline’ 24 jam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga tiada respons,” kata peguam itu kepada FMT.

PBAPP sebelum ini berkata, tekanan air akan rendah susulan loji rawatan ditutup empat jam disebabkan kekeruhan luar biasa tinggi. Bekalan air dijangka dipulihkan tengah hari esok.

Gambar tersebar menerusi WhatsApp dikatakan keadaan air yang keruh.

Rashid Ali, 46, dari Gelugor turut mengadu tiada bekalan air sekalipun untuk membasuh tangan.

Seorang tutor, Joshua Johnson, 29, berkata hanya tiga tingkat atas blok apartmen dihuninya di Taman Sri Petani, Sungai Pinang, mempunyai bekalan air, manakala J Kishen Kumar, 29, dari Taman Kota Permai, Bukit Mertajam berkata bekalan air disimpan keluarganya juga semakin habis.

Rak di pasar raya kosong disebabkan orang ramai bergegas membeli air botol. Pengurus Mydin cawangan Penang Road, Emirol Ashraf berkata stok air mineral di premisnya habis dibeli pada 1.30 tengah hari.

Video dirakam pembaca FMT menunjukkan orang ramai dengan troli dipenuhi air mineral di AEON Queensbay.

Warga emas tiada bekalan air

Di Sungai Petani, Kedah, kira-kira 40 penghuni rumah jagaan orang tua Loving Care Nursing Home dan D’Zenith Home turut terjejas akibat gangguan bekalan air secara tiba-tiba ketika waktu mandi pada 6.30 pagi.

Bekalan air botol di pasar raya habis akibat pembelian panik penduduk Pulau Pinang.

“Mujur kami mula memandikan penghuni awal. Air mula berkurangan selepas lapan orang selesai dimandikan dan hanya dua yang tinggal tetapi kami dapat mengatasi masalah itu.

“Kami mula menyimpan bekalan air dan pada 3 petang paip mula mengeluarkan air berwarna seperti teh tarik. Kami langsung tidak dimaklumkan gangguan akan berlaku, paling merisaukan mereka yang terlantar kerana perlu dilap selalu untuk mengelak kudis,” kata Delren Douglas kepada FMT.

Katanya, beliau menghubungi Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang menghantar pekerja mengisi 40 baldi di dua rumah jagaan itu pada 8.30 pagi. Lori tangki kemudian datang pada 5 petang membawa bekalan air.

Pekerja membantu mengisi air ke dalam baldi di sebuah rumah jagaan orang tua di Sungai Petani, Kedah.

Hospital Sungai Petani turut melaporkan gangguan bekalan air, tetapi seorang pegawai kesihatan negeri berkata bekalan kembali normal selepas sebuah lori tangki menghantar bekalan.

Kedah menutup tiga loji rawatan air utama lewat malam tadi yang menjejaskan pengguna di Kulim Hi-Tech dan Sungai Petani.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow memberitahu pemberita, susulan banjir di Baling,  Pulau Pinang akan menghantar misi bantuan kemanusiaan yang turut merangkumi pegawai  Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Dalam kenyataan, SADA berkata kira-kira 280,000 pemilik akaun akan terjejas akibat gangguan bekalan air selepas lima loji rawatan ditutup disebabkan tahap kekeruhan luar biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.