Lelaki maut tertembak senapang rakan di kebun durian

Lelaki maut tertembak senapang rakan di kebun durian

Siasatan awal mendapati mangsa berusia 32 tahun pergi ke kawasan itu bersama tiga rakannya.

Polis berkata seorang rakan si mati yang membawa senjata api telah tergelincir di lereng bukit dan senapang dipegangnya terpelanting dari tangan serta berlaku tembakan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut dipercayai terkena tembakan daripada senapang patah dibawa rakannya di kebun durian berhampiran Sungai Gabai, Hulu Langat.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 7.15 pagi tadi dan siasatan awal mendapati mangsa berusia 32 tahun ke kawasan itu bersama tiga rakannya.

“Semasa dalam perjalanan, seorang rakan si mati yang membawa senjata api (senapang patah) tergelincir di lereng bukit dan senapang dipegangnya terpelanting dari tangan serta berlaku tembakan.

“Mangsa yang berada di belakang dalam jarak lebih kurang 3m terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut Bernama.

Zaid berkata, terdapat beberapa kesan peluru dipercayai daripada senjata api itu pada badan mangsa.

Katanya, senapang itu dilesenkan atas nama bapa saudara salah seorang rakan mangsa dan ketiga-tiga mereka, berumur lingkungan 36 hingga 43 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan balai polis terdekat atau pegawai penyiasat Redzuan Mat Salleh di 013 7854100,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.