Keputusan benar Peguam Diraja wakili Najib ditetap 21 Julai

Keputusan benar Peguam Diraja wakili Najib ditetap 21 Julai

Najib Razak mahu mendapatkan khidmat Peguam Diraja Jonathan Laidlaw untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir SRC International, bulan depan.

Peguam dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw, berkata petisyennya menyatakan kes SRC International membabitkan ‘serius, rumit dan isu baharu berhubung beberapa cabang undang-undang jenayah dan sivil’. (Gambar 2HareCourt)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah tinggi menetapkan 21 Julai bagi keputusan membenarkan peguam dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw, diterima masuk mahkamah untuk mewakili Najib Razak, dalam kes rayuan SRC International.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada peguam Laidlaw, Harvinderjit Singh, selain pihak Pejabat Peguam Negara, Badan Peguam dan jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur.

Najib berhubung dengan Laidlaw, seorang Peguam Diraja (QC) yang pakar dalam undang-undang perniagaan dan kewangan, untuk mendapatkan khidmat guaman Laidlaw untuk berhujah bagi rayuan SRC International.

Dalam petisyennya, Laidlaw berkata, kes SRC International membabitkan “serius, rumit dan isu baharu berhubung beberapa cabang undang-undang jenayah dan sivil”.

“Bagi tujuan rayuan, pemohon (Laidlaw) mempunyai kelayakan pengkhususan, pengalaman dan kepakaran yang tidak ditemui dalam kalangan peguam di sini”.

Najib disabit bersalah terhadap tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang berhubung RM42 juta milik SRC International, yang didepositkan dalam akaun banknya.

Mahkamah menjatuhi beliau hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Beliau dibenarkan dijamin dan sedang menunggu pendengaran di Mahkamah Persekutuan, yang dijadual berlangsung selama 10 hari, bermula 15 hingga 26 Ogos.

Pejabat Peguam Negara, Badan Peguam bangkit bantahan

Timbalan Pendakwa Raya Kanan V Sithambaram, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes SRC International, memberitahu mahkamah bahawa peguam tempatan adakah kompeten untuk berhujah bagi rayuan berkenaan.

“Beliau (Laidlaw) merupakan orang yang bijak, namun kita tidak memerlukannya di sini untuk berhujah. Sekiranya kita perlu menangani isu berbangkit dalam mana-mana kes kita, kita boleh membuat kajian berhubung undang-undang asing dan memasukkannya dalam hujahan.

“Adakah bermaksud setiap kali berdepan isu ‘baharu’ dalam kes kita, kita perlu berhenti seketika dan memohon QC untuk turut serta,” soalnya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili peguam negara, memberitahu mahkamah bahawa tiada keterangan dikemukakan di mahkamah Najib berdepan prejudis sekiranya khidmat mendapatkan peguam asing ditolak.

“Tidak berlaku kekurangan peguam jenayah dalam badan peguam. Mereka mempunyai keyakinan menguruskan semua kes jenayah tanpa memerlukan kebergantungan terhadap peguam asing,” katanya.

Peguam Bastian Pius Vendargon, mewakili Badan Peguam, berkata Laidlaw tidak biasa dengan undang-undang di negara ini.

Katanya, “pemohon (Laidlaw) tidak memberi keterangan bahawa dirinya mempunyai pengalaman berhubung isu perundangan membabitkan tuduhan SRC”.

Vendargon memetik kes seorang lagi QC, Cherie Blair, yang ingin mewakili sebuah syarikat dalam satu kes pertikaian komersial, pada 2006. Bagaimanapun, permintaan Blair bagi kemasukan ad-hoc ditolak.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Blair kekal sehingga ke hari ini.

Ahli Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur, Gurdial Singh Nijar, berkata permintaan Blair untuk berada di mahkamah tempatan seolah-olah seperti mencadangkan “kita perlu bergantung kepada orang luar”, seperti tongkat.

“Ia seperti tanpa ‘tongkat’, kita tidak cukup.

“Kami mendesak mahkamah mengambil kira bantahan keras daripada Badan Peguam, dan menolak penangguhan keseluruhan proses (rayuan SRC International),” katanya.

Bagaimanapun, Harvinderjit memberitahu mahkamah pasukan pendakwaan SRC International tidak sepatutnya berada di mahkamah membantah kemasukan Laidlaw.

Katanya, pihak pendakwaan tidak dinyatakan sebagai pihak berkepentingan mengikut Akta Profesion Undang-undang (LPA), untuk membantah atau bersetuju dalam kes penerimaan ad-hoc.

“Kami berkata beliau (Laidlaw) lulus dalam ambang mengikut Seksyen 18 LPA untuk diterima,” katanya.

Peguam itu berhujah berhubung tatakelola pihak pendakwaan dalam perbicaraan SRC International dengan mendakwa maklumat diselindungkan daripada pihak pembelaan.

Ia sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati Sithambaram, yang bangun dan menyatakan: “Peguam bijaksana (Harvinderjit) berhujah tentang merit rayuan.”

Kamal memberitahu Harvinderjit bahawa, hari ini, prosiding membabitkan Laidlaw – sama ada peguam dari United Kingdom boleh dibenarkan mewakili Najib.

“Ini bukan perbicaraan semula SRC. Apa yang dibicarakan adalah sama ada beliau layak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.