
Jenazah ibu yang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, bersama janinnya serta ibu mentuanya yang lumpuh Salmah Mat Akib, 53, dan adik iparnya Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, tiba di pekarangan Surau Al-Istiqamah, Kampung Charuk Bemban Dalam pada 4.25 pagi.
Jenazah janin itu didukung bapanya Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, sebelum dibawa masuk ke dalam surau untuk disolatkan.
Suasana pilu dan sedih menyelubungi upacara pengebumian apabila kira-kira 200 orang yang hadir kelihatan sebak sewaktu diberikan peluang terakhir untuk menatap wajah jenazah sebelum dikebumikan.
Mayat tiga sekeluarga itu ditemui pagi semalam selepas rumah mereka dihanyutkan air dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Isnin lalu.
Mayat Nurul Anis dan ibu mentuanya yang lumpuh itu ditemui dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira 100 meter dari tapak rumah mereka yang dihanyutkan itu.
Mangsa ketiga, Khairul Ikhwan pula ditemui pada 11.55 pagi di bawah timbunan pokok yang tidak jauh daripada mayat ibu dan kakak iparnya dijumpai.