Gubal undang-undang atau hilang peruntukan sama rata, kata badan pemikir

Gubal undang-undang atau hilang peruntukan sama rata, kata badan pemikir

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh berkata walaupun MoU ada menyatakan peruntukan pembangunan sama rata, bagaimanapun ia bukan selamanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tricia Yeoh, berkata reformasi perundangan bagi peruntukan sama rata mesti sejajar dengan penggubalan undang-undang pendanaan politik.
PETALING JAYA:
Tanpa dokongan undang-undang, Ahli Parlimen pembangkang hanya akan menikmati peruntukan sama rata dengan Ahli Parlimen kerajaan sehingga berakhirnya memorandum persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan, kata badan pemikir.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh, berkata walaupun MoU ada menyatakan peruntukan pembangunan kawasan pilihan raya (ECDF) sama rata, bagaimanapun ia bukan selamanya.

“MoU berkenaan ditandatangani pada tahun lalu sebenarnya mempunyai klausa menjanjikan ECDF antara kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang. Bukan kepada semua Ahli Parlimen, hanya mereka yang menandatangani.

“Walaupun kita mengalu-alukan langkah itu, masalahnya perkara itu tidak diinstitusikan, jadi (apabila MoU tamat), itu sahaja,” katanya dalam persidangan.

Katanya, reformasi perundangan bagi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, termasuk ADUN untuk pembangunan kawasan mesti sejajar dengan penggubalan undang-undang pendanaan politik.

Dalam pada itu, ADUN Sungai Panjang Imran Tamrin mencadangkan antara cara mengawal selia dana pembangunan kawasan adalah mewujudkan jawatankuasa pilihan khas di peringkat pusat dan negeri bagi memantau bagaimana wang dimanfaatkan oleh wakil rakyat.

“Ini akan menjadikan mereka bertanggungjawab bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada Ahli Parlimen dan ADUN lain,” katanya.

Mengikut amalan sedia ada, dana pembangunan bagi Ahli Parlimen kerajaan berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding diterima pembangkang. Dana berkenaan digunakan mengikut budi bicara bagi projek dalam kawasan diwakili.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan PH menandatangani MoU, pada September 2021, bersetuju bekerjasama untuk mengembalikan kestabilan politik di mana kerajaan menguruskan pandemik Covid-19 dan membantu memacu pemulihan ekonomi.

Walaupun Mou berkenaan tidak mempunyai tempoh tamat, ia menyatakan kerajaan dan PH bersetuju pilihan raya umum tidak boleh diadakan sebelum 31 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.