
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata kerajaan yang mengeluarkan lesen dan permit serta menetapkan peraturan.
“Ia telah menjadi dasar kerajaan sejak bertahun-tahun untuk mewujudkan anti-persaingan seperti ini dan kini kita melihat kesannya,” katanya.
Williams berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa yang berkata, terdapat “kecenderungan” untuk kartel wujud dalam pengeluaran ayam, telur dan minyak masak.
Annuar sebelum ini berkata, setiap proses akan diteliti di setiap peringkat untuk mengenal pasti dimana tindakan di luar kerangka undang-undang dapat diambil untuk mengatasi isu kartel itu.
Menurut Williams, walaupun orang tengah boleh membantu menyelaraskan bekalan dan membawa masuk produk ke pasaran namun pengalaman biasa di negara ini adalah mereka memanipulasi pasaran, meningkatkan harga dan mengambil untung besar antara pengeluar dan pengguna.
Katanya, kartel, monopoli dan orang tengah perlu dikekang bagi menangani perkara ini.
“Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan lebih banyak pasaran bebas dan mengurangkan campur tangan kerajaan. Dengan cara itu, barulah ada peluang untuk harga kembali menjadi normal, murah atau sekurang-kurangnya lebih berpatutan,” katanya.
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah, berkata biarpun orang tengah begitu penting dalam rantaian bekalan namun ada juga yang langsung tidak menyumbang.
Katanya, ini adalah orang tengah yang mencari untung dan bertindak sebagai “penjaga pintu” atau memonopoli permit import (AP) serta tidak memberi nilai tambah tetapi berselindung sebagai pihak yang ingin mengekalkan kualiti.
Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia Raymond Woo, berkata ada juga orang tengah yang cuba mengurangkan kenaikan harga barang.
Katanya, orang tengah ini berbuat demikian dengan menurunkan margin mereka dalam tempoh jangka pendek untuk mengurangkan beban orang ramai.
“Kita hanya boleh berharap orang tengah menetapkan margin yang sesuai untuk memastikan hubungan yang berkekalan dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.