Tak perlu main ‘politik murahan’ kata kerajaan ‘bangang’, pemimpin Umno bidas Anwar

Tak perlu main ‘politik murahan’ kata kerajaan ‘bangang’, pemimpin Umno bidas Anwar

Kerajaan memberikan lebih subsidi dan bantuan kewangan kepada rakyat berbanding ketika Pakatan Harapan memerintah 22 bulan.

Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Mohd Sharif berkata apabila kerajaan melakukan perkara yang baik, Anwar Ibrahim tidak pula bercakap mengenainya.
JEMPOL:
Seorang pemimpin Umno membidas tindakan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang menyifatkan kerajaan sebagai “bangang” apabila hanya menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani harga barang.

Ketua Umno Jempol, Mohd Salim Mohd Sharif, berkata Anwar tidak perlu menggunakan taktik politik “populis” atau menggunakan politik murahan dengan cuba mengajak rakyat protes di jalanan dan bertindak menyalahkan kerajaan.

Mengakui negara sedang berdepan kenaikan harga barang, beliau berkata kerajaan turut membantu memberi lebih subsidi serta bantuan kewangan kepada rakyat berbanding ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah 22 bulan.

Katanya, bukan Malaysia saja berdepan kesan inflasi selepas pandemik Covid-19, tetapi negara lain juga berdepan kenaikan harga barang.

“Jika lihat dari segi subsidi minyak yang diberikan kepada rakyat hampir separuh subsidi RON95 ditanggung kerajaan. Malaysia antara negara termurah menjual minyak RON95 berbanding negara luar seperti Singapura dan Indonesia,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Jempol itu berkata, kerajaan juga memberikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) termasuk tambahan bantuan BKM yang baru-baru ini diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Salim berkata, apabila kerajaan melakukan perkara yang baik, Anwar tidak pula bercakap mengenainya.

Tegasnya, jika Anwar pemimpin politik yang bagus, beliau boleh menyatakan apa formula dan kaedah boleh dicadangkan berhubung kenaikan harga barang.

“Ini tidak, (Anwar) hanya sekadar mengatakan bahawa kita kerajaan tak betul dan seronok kata kerajaan bangang. Jadi apa cadangannya dan formula sebagai ketua pembangkang. Kenyataan Anwar itu dilihat seolah bukan berfikiran jauh nak bantu negara,” katanya.

Sabtu lalu, ketika berceramah pada program Jelajah Harapan Selangor di Tanjong Karang, Anwar menyifatkan kerajaan sebagai “bangang” apabila hanya menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani harga barang termasuk ayam selepas enam bulan rakyat bergelut dengan kenaikan harga.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu sepatutnya boleh diadakan lebih awal sebelum kenaikan harga barang dan berusaha membendungnya lebih awal.

Ucapan Anwar dipercayai merujuk kepada langkah kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup, pada 29 Jun lalu yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.