Disyaki bunuh isteri dan anak, lelaki direman 7 hari

Disyaki bunuh isteri dan anak, lelaki direman 7 hari

Polis menahan lelaki itu ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel petang semalam dan merampas sebilah pisau pemotong daging daripadanya.

Pencuci kapal berumur 24 tahun ini direman sehingga 11 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seorang lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya berumur tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu di sini, direman tujuh hari bermula hari ini.

Tempoh reman hingga 11 Julai terhadap pencuci kapal berumur 24 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Nur Izzaty Muhammad Zahari.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis menahan lelaki terbabit di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemui di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat dilaporkan berkata, lelaki itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.