
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) berkata banyak pertimbangan serta kajian mendalam perlu dibuat kerajaan sebelum melaksanakan cadangan itu.
Pengarah Eksekutifnya Shaun Cheah, berkata: “Kita mempunyai banyak syarikat multinasional yang telah pun mengamalkan AKF. Bagaimanapun, kita berjaga-jaga dengan salah guna (yang berpotensi berlaku) oleh pekerja yang mungkin mengambil kesempatan ke atas sistem berkenaan.
“Jika majikan menolak permohonan pekerja disebabkan sejarah masalah disiplinnya sebelum ini, adakah pekerja itu boleh menggunakannya di Mahkamah Buruh sebagai asas terhadap tindakan pemecatan konstruktif?”
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa pekerja boleh memohon AKF dengan majikan masing-masing bermula 1 Sept apabila pindaan di bawah Akta Kerja berkuat kuasa nanti.
Permohonan secara bertulis boleh untuk perubahan waktu bekerja, hari bekerja atau tempat kerja. Majikan mesti memberi maklum balas dalam tempoh 60 hari dan memberikan alasan jika permohonan ditolak.
Cheah berkata peruntukan itu agak samar dan beliau mempersoalkan apakah alasan yang boleh diterima untuk menolak permohonan. Terdapat juga persoalan mengenai liabiliti jika gaji dan elaun diselaraskan.
Menurutnya, ada sesetengah pekerja menerima tuntutan perjalanan dan tempat letak kereta. Beliau menyoal sama ada majikan boleh mengurangkan bayaran itu kepada mereka yang memilih untuk bekerja di rumah kerana pampasan pekerja adalah urusan kontrak.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia harus menjelaskannya.
Manakala Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, beliau percaya majikan mempunyai fleksibiliti untuk menerima atau menolak permohonan pekerja untuk waktu fleksibel.
“Alasan untuk menolak permohonan akan berbeza-beza bergantung pada keperluan operasi syarikat, dan majikan mungkin menyatakan bahawa AKF tidak sesuai untuk operasi syarikat mereka,” katanya.