Zakir Naik selesai saman fitnah terhadap Kula

Zakir Naik selesai saman fitnah terhadap Kula

Peguam Akberdin Abdul Kader berkata terma penyelesaian antara kedua-dua pihak kekal sulit.

Zakir Naik memfailkan saman terhadap M Kula Segaran kerana didakwa memfitnah dalam artikel berita dan kenyataan akhbar mengenai pendakwah kontroversi itu.
KUALA LUMPUR:
Saman fitnah difailkan pendakwah kontroversi Zakir Naik terhadap bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran diselesaikan tanpa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Zakir, Akberdin Abdul Kader, berkata penghakiman persetujuan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Arief Emran Arifin dalam kamar.

“Terma penyelesaian masih kekal sulit antara kedua-dua pihak,” katanya kepada FMT.

Zakir yang mendapat taraf penduduk tetap, kini menetap di Putrajaya turut diwakili Sulaiman Abdullah dan Rafie Mohd Shafie.

Peguam Kula, K Shanmuga mengesahkan keputusan itu.

Zakir dan Kula, yang juga naib pengerusi kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, hadir semasa prosiding dalam kamar.

Saman terhadap Kula adalah berkaitan laporan FMT bertajuk “DAP: No reason for Malaysia to protect Zakir Naik”, yang diterbitkan pada 17 April 2017.

Zakir juga menuntut permohonan maaf dikeluarkan dan disiarkan di akhbar dan portal berita dalam talian.

Kula, dalam pembelaannya, merayu justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak.

Zakir turut memfailkan saman fitnah pada 2019 terhadap tiga lagi pemimpin DAP – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan ADUN Bagan Dalam Satees Muniandy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.