Sultan Selangor pandang serius perbalahan pemimpin Melayu, ancam kestabilan politik

Sultan Selangor pandang serius perbalahan pemimpin Melayu, ancam kestabilan politik

Baginda bertitah jika pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan baik dan bertanggungjawab akan menyebabkan kaum lain hilang rasa hormat.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan stabil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu, terutama pemimpin politik.

Menerusi kenyataan, Sultan Sharafuddin bertitah, perbalahan dalam kalangan pemimpin politik Melayu yang dilihat begitu ketara ketika ini boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara ini.

“Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara, bagaimanapun Beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan, di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.

“Ia adalah bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini,” titahnya.

Katanya, pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan stabil.

Jelasnya, jika pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan baik dan bertanggungjawab akan menyebabkan kaum lain akan hilang rasa hormat, sekali gus hilang sokongan terhadap pemerintahan orang Melayu.

“Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum,” titahnya.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin menggalakkan rakyat menonton filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” untuk dijadikan teladan dan pengajaran.

Filem itu, titah baginda, memaparkan bagaimana perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai bangsa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.