Santiago pertikai lantik ahli politik jadi pesuruhjaya Suhakam

Santiago pertikai lantik ahli politik jadi pesuruhjaya Suhakam

Pelantikan politik akan melemahkan kepercayaan orang ramai terhadap suruhanjaya yang bertanggungjawab menegakkan hak asasi di negara ini, kata Charles Santiago.

Enam individu baru-baru ini dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam untuk penggal tiga tahun, manakala Noor Aziah Mohd Awal dilantik semula selepas menjadi pesuruhjaya kanak-kanak pada 2019.
GEORGE TOWN:
Seorang ahli Parlimen mempertikaikan pelantikan ahli politik yang aktif sebagai pesuruhjaya hak asasi dengan berkata, pelantikan pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ini adalah yang paling teruk dalam sejarahnya.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, pelantikan politik akan melemahkan kepercayaan orang ramai terhadap Suhakam.

“Saya tidak menentang ahli politik menjadi pesuruhjaya, tetapi paling tidak mereka mesti mempunyai rekod komitmen dalam isu hak asasi,” katanya.

“Ahli parti politik akan mempunyai bias tertentu dan (mereka) takkan mahu menentang ketua mereka. Pertimbangan bagaimana yang akan mereka buat?

Beliau menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membatalkan pelantikan baharu pesuruhjaya yang aktif dalam politik dan menggantikannya dengan individu yang bersifat neutral.

Charles Santiago

Santiago mencadangkan bekas profesor undang-undang Shad Saleem Faruqi dilantik sebagai pengerusi, bukannya profesor UiTM Rahmat Mohamad.

“Shad juga profesor undang-undang. Tengoklah cara beliau bercakap mengenai hak asasi, beliau sepatutnya mengetuai Suhakam. Beliau faham undang-undang, negara, dan beliau sentiasa bersuara mengenai pelbagai isu dari sudut undang-undang.”

Selain Rahmat, enam individu lain dilantik sebagai pesuruhjaya untuk penggal tiga tahun, manakala Noor Aziah Mohd Awal dilantik semula selepas menjadi pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam pada 2019.

Noor Farida Ariffin

Enam individu terbabit ialah bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ragunath Kesavan; bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Nordin Ibrahim; pakar bius Dr Chew Chee Ming, ahli Majlis Perubatan Malaysia; bekas peguam besar Sabah Mary @ Mariati Robert; peguam Hasnal Rezua Merican Habib Merican, bekas penasihat undang-undang Barisan Nasional (BN); dan peguam Nazira Abdul Rahim, pengarah Universiti Utara Malaysia.

Dr Chew dan Mariati masing-masing mewakili Sarawak dan Sabah, manakala Hasnal dan Nazira dilaporkan ahli aktif Umno.

Bekas diplomat Noor Farida Ariffin berkata, pelantikan individu yang mempunyai kaitan dengan politik dan agama akan menjadi malapetaka bagi Suhakam, yang tidak lagi dilihat sebagai badan yang menegakkan hak asasi untuk rakyat Malaysia.

Azmi Hassan

Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, pesuruhjaya baharu itu perlu diberi peluang untuk membuktikan diri mereka.

“Secara teorinya, isu hak asasi manusia merentasi garisan parti. Jadi dalam kes ini, kaitan seseorang ahli secara politik tidak patut menjadi penghalang.

“Beri mereka peluang, walaupun kita tidak tahu sejauh mana penglibatan mereka dalam kegiatan hak asasi. Jika prestasi mereka cemerlang dan mereka tidak berpihak, tidak jadi masalah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.