
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perjumpaan dengan ketua setiausaha KPDNHEP, hari ini.
“Perjumpaan itu melibatkan pengarah JKDNKA yang mana ia membincangkan pelaksanaan operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak peket.
“Melalui Op Bersepadu, tangkapan dan rampasan akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Acryl berkata, sebelum ini polis melalui JKDNKA telah melaksanakan Op Kontraban dalam usaha membendung ketirisan barangan bersubsidi.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun lalu JKDNKA berjaya merampas barangan subsidi bernilai RM38.2 juta yang diseleweng.
“Daripada jumlah itu, RM854,252 ialah rampasan melibatkan minyak masak. Usaha bersepadu dengan KPDNHEP merupakan langkah positif bagi membendung ketirisan subsidi,” katanya.